"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wahai pemimpin Pakatan: Cukup, hentikanlah kenyataan kontroversi!

ZULKIFLI YAHAYA
Semua petunjuk membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-13 hampir pasti diadakan, selewat-lewatnya sebelum bulan Ramadan tahun ini. Presiden Umno dengan memakai baju Perdana Menteri turun bertemu rakyat dari pelbagai kelompok, satu demi satu, untuk berkempen meminta mandat dari rakyat supaya BN terus berkuasa.

Pelbagai jenis bantuan yang muncul 54 tahun sekali diperkenalkan oleh Dato' Seri Najib Razak, sehingga rakyat terasa lemas dengan sumbangan yang dihulurkan itu. Melayu mudah lupa, justeru jarak antara masa pemberian politik dengan PRU13 mestilah tidak terlalu jauh supaya rakyat tidak melupainya. Maka bagi BN, minda orang Melayu mesti dikepung dalam jarak waktu tersebut.

Semua sedia maklum bahawa dalam sistem pilihan raya di Malaysia, demokrasi hanya berlaku sewaktu mengundi dan menunggu keputusan. Itupun tidak termasuk undi pos.

Jadi dalam keadaan demokrasi yang pincang ini, kekuatan bagi pihak pembangkang ataupun Pakatan Rakyat ialah mengurangkan diri dari melakukan kesilapan kerana BN mempunyai kekuatan logistik untuk menyerang pembangkang secara besar-besaran.

Jika sekali pemimpin Pakatan tersasul dalam percakapan maka ia akan dijadikan modal untuk membelasah seseorang dan partinya berhari-hari malah berminggu-minggu lamanya. Sebahagian rakyat akan termakan juga dakyah mereka.

Yang menjadikan hati nurani ahli dan penyokong PR remuk redam ialah kerana yang mengeluarkan kenyataan kontroversi itu ialah pemimpin peringkat atasan. Jentera penerangan PAS di semua peringkat yang sepatutnya berperanan menerang dan menyerang, terpaksa pula membuang masa menjelaskan isu kontroversi yang dibangkitkan. Akhirnya Pakatan sentiasa defensif setiap kali menjelang pilihan raya.

Biarlah dalam waktu yang sangat kritikal ini semua tenaga dalam Pakatan di semua peringkat menumpukan perhatian untuk mengajak majoriti rakyat menyokong Pakatan Rakyat dan menolak BN. Tumpukan perhatian dalam negara.

Rakyat Amerika atau rakyat Israel tidak menyumbang walau satu undi pun untuk kita, maka apa perlunya kenyataan "menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel" dibuat. Entiti haram Israel terbangun atas tanah milik rakyat palestin yang dirampas. Jadi tiada seinci pun bumi Israel yang layak dipanggil negara. Sepatah kenyataan itu menyebabkan BN berjaya menimbus isu perunding APCO yang telah dimenangi oleh Pakatan dua tahun lalu.

Kadangkala ayat terbuka yang diucapkan yang mempunyai pelbagai makna pun dimanipulasi, walhal maksudnya tidak begitu. Seperti isu kononnya pemimpin utama Pakatan menyokong sodomi. Tetapi kalau media antarabangsa ini terus tidak dilayan sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, maka ia akan lebih memudahkan kerja Pakatan menghadapi pilihan raya.

Biarlah masyarakat dunia tidak "dipengaruhi" terhadap apa-apa isu pun sebab mereka bukan boleh mengundi di Malaysia. Pedulikan mereka. Jangan ghairah sangat dengan mikrofon media antarabangsa.

Selepas kecewa dengan undi bukan Melayu, selama empat tahun BN berusaha mengembleng sokongan orang Melayu. Ia membuahkan hasil. Semua penganalisis politik bersepakat bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatran terjejas. Momokan Umno cukup mudah; Pakatan Rakyat mengancam Melayu dan Islam.

Satu demi satu 'bukti' dipaparkan. Malang jika pemimpin Pakatan pula yang menambah 'bukti-bukti' tersebut.

Dalam sistem demokrasi seorang rakyat Malaysia yang cukup syaratnya hanya memiliki kuasa satu undi, tidak kira seorang profesor atau seorang gila. Golongan intelek boleh menghakim sesuatu isu dengan analisis tetapi golongan biasa dan berpendidikan rendah biasanya tidak mempunyai keupayaan tersebut. Bagi golongan yang malas berfikir pula hanya menelan bulat-bulat apa yang terhidang.

Kenyataan seringkas "masuk perangkap Umno", "DAP boleh tanding kawasan Melayu", "bersedia tidak jadi calon", "memimpin sampai mati", "menyokong Auku", "ambil tindakan disiplin" -- yang diucapkan secara terbuka, semuanya menjadi hidangan yang sangat enak kepada musuh untuk dieksploit. Tidak bercakap perkara tersebut adalah lebih baik bagi parti.

Di tengah-tengah Pakatan Rakyat perlu mengembleng seluruh kekuatan untuk menumbangkan BN dalam peluang sangat baik ini, datang pula satu lagi cabaran terhadap PAS dengan kemunculan bekas pemimpin parti dengan teori kuasa ketiganya. Pentas yang diguna untuk mempertahankan kemurnian aqidah kononnya, sebaliknya menjadi medan menghentam PAS serta memecahbelahkan masyarakat.

Janganlah nak kata, semua yang berlaku itu tidak memberi kesan terhadap parti. Semuanya mampu memudaratkan, justeru jangan menambah lagi kemudaratan dengan kenyataan sia-sia yang memberi peluru kepada musuh untuk menyerang.

Sabarlah sekejap wahai para pemimpinku, sementara keputusan PRU13 belum diumumkan; berhentilah membuat kenyataan yang boleh mengundang kontroversi!

Tiada ulasan: