"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Artis bakal jadi calon PAS PRU 13?



PAS tidak menolak jika ada permohonan daripada PAS Cawangan dan Kawasan untuk meletakkan calon di kalangan para artis sekiranya calon tersebut boleh menjamin kemenangan dalam PRU13 nanti.

Perkara itu dijelaskan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ketika menjawab pertanyaan daripada hadirin dalam sesi dialog pada Majlis Makan Malam Pelancaran Dana Dewan Muslimat PAS Pusat, di Shah Alam, baru ini

Katanya, tidak salah menjadi pelakon atau penyanyi tetapi biarlah artis yang membuat kebajikan kepada masyarakat dengan menggunakan seni mereka untuk mendidik bukan mengkhayalkan mereka.
“Jika kita perintah negara, kita betulkan kehidupan mereka, kita dekatkan diri mereka kepada Allah,” katanya.

Ini kerana tambah beliau, penglibatan artis dalam PAS bukan perkara baru tetapi sejak dulu lagi cuma hari ini semakin ramai artis yang menyokong perjuangan PAS.

Selain itu, beliau turut menegaskan, PAS akan mengubah fikiran orang Melayu supaya memperkasakan diri mereka dengan Islam kerana dengan Islam orang Melayu akan jadi perkasa.

Kata Ustaz Abdul Hadi, jika Melayu sahaja tanpa Islam bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang hina sebagaimana orang Arab yang menjadi hina kerana meninggalkan Islam.

“Kita adalah umat yang diperkasakan Allah kerana Islam jika kita mencari selain daripada Islam maka kita telah meletakkan penghinaan terhadap Allah,” katanya.

Beliau berkata, hanya Islam sahaja yang boleh membangunkan manusia kerana Melayu tanpa Islam Melayu akan layu sebagaimana orang Arab terus dalam jahiliah tanpa Islam.

Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. memperkasakan orang Arab dengan Islam dahulu baru memerdekakkan mereka daripada jahiliah Parsi dan Rome.

“PAS menjadikan Islam dulu untuk memandu Melayu tetapi Umno menjadikan Melayu dulu dan Islam di belakang. Jika tegakkan Islam, Melayu akan selamat tetapi tegakkan Melayu tanpa Islam belum terjamin selama ini,” katanya.

Dalam hal ini tambah beliau, Umno telah menyesatkan fikiran orang Melayu kerana gagal mendidik mereka menjadi bangsa yang kuat dan teras politik negara.

Menjawab soalan hubungan bersama Umno, Ustaz Abdul Hadi berkata, Umno mesti tunjukkan dahulu akhlak yang baik baru boleh berbincang untuk bekerjasama dengan PAS.

Katanya, PAS boleh bekerjasama dengan DAP, KeADILan dan suatu ketika dahulu Semangat 46 dengan syarat PAS meletakkan Islam sebagai ad-din dan mereka menerima syarat tersebut.

Beliau turut menyentuh tentang Negara Berkebajikan yang diperkenalkan PAS dengan menekankan soal perhitungan dosa dan pahala dan ternyata mempunyai wawasan hari akhirat.

“Pemimpin negara yang adil dapat naungan arasy pertama pada hari kiamat, pahalanya besar berbeza kerajaan Umno hanya berwawasan 2020 sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dalam ucapannya berkata, kebangkitan golongan muda merupakan satu perubahan besar yang bakal mengubah landskap politik negara.

Katanya, memandangkan perjuangan PAS masih panjang dan memerlukan kesabaran maka wanita muda merupakan tenaga yang paling penting.

Ujarnya, sayap Muslimat PAS iaitu Amirah ditubuhkan bertujuan menarik generasi muda untuk menyokong perjuangan PAS khususnya Dewan Muslimat PAS.

“Kita mengalu-alukan sokongan dan dokongan generasi muda yang bermaklumat masih sihat dan mempunyai pemikiran kreatif yang tinggi. Kita memerlukan sokongan golongan muda sama ada di peringkat kampung dan bandar,” katanya.

Menurut beliau, senario generasi hari ini terlalu ramai anak-anak muda terjebak dengan keruntuhan moral dengan masalah sosial semakin meningkat tambahan pula kelahiran anak luar nikah 82 orang setiap hari.

Katanya, rekod kelahiran anak luar nikah itu amat memalukan ditambah pula dengan pembuangan bayi.

“Jika kita tidak ada generasi muda negara, kita akan ketandusan pimpinan di masa akan datang,” tegasnya.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pimpinan Muslimat PAS mengharapkan anak-anak muda yang beriman dan bertakwa turun ke padang utnuk mengajak masyarakat berubah.

Muslimat perlu penglibatan anak-anak muda yang bercitacita tinggi dan boleh memberi manfaat kepada seluruh masyarakat, tegasnya.

“Kita bersedia bekerjasama dengan Amirah, Nisa dan Briged Muslimat untuk membimbing generasi muda ke arah yang lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Dato’ Seri Bentera Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Ishak; Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi bersama isteri, Toh Puan Zainab Awang; Timbalan Presiden, Muhamad Sabu serta isteri, Normah Ali; isteri mantan Presiden PAS Allahyarham Dato’ Fadzil Mohd Noor, Datin Khadijah Ibrahim dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Presiden turut melancarkan Tabung Infak Dewan Muslimat PAS Pusat serta menyampaikan cabutan nombor bertuah kepada lima orang pemenang TV LCD. Bida potret Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut dibeli oleh seorang pemuda dengan harga RM500.

Hadiri turut dihidangkan dengan montaj serta alunan sajak oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al- Jundi.

Tiada ulasan: