Clara Chooi
KUALA LUMPUR: Pemerhati politik percaya pihak berkuasa tidak akan bertindak kasar terhadap peserta himpunan Bersih 3.0 seperti mana yang berlaku tahun lalu, mengatakan ia satu strategi “bukan main bodoh” oleh Datuk Seri Najib Razak.
Mereka bersetuju sebarang tindakan kasar untuk menghentikan perhimpunan pada 28 April boleh menjatuhkan Najib dan pasukannya, menunjukkan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir untuk perdana menteri berdepan risiko kehilangan lebih banyak sokongan.
“Jika mereka lakukan sekali lagi seperti apa yang berlaku pada (himpunan Bersih) kali pertama dan kedua, ia bukan main bodoh, adakah anda fikir mereka ini naif?
“Peluang ketiga diberikan untuk menunjukkan sama ada anda sebuah kerajaan yang menghormati nilai-nilai demokratik dan menolaknya...ia adalah bodoh malah ia mengatasi piawaian Barisan Nasional (BN),” kata pensyarah undang-undang Universiti Malaysia Dr Azmi Sharom.
Menurut beliau, himpunan Bersih 3.0 dijadualkan pada 28 April di Dataran Merdeka, ia merupakan bantahan “mogok duduk” dan tidak berarak di jalan raya.
“Ia mogok duduk, yang lebih aman. Ia pasti akan menjejaskan imej kerajaan dan pilihan raya umum jika mereka bertindak kasar.
“Paling sedikit ia hanya akan mengukuhkan bukti orang ramai terhadap mereka,” katanya.
Semasa dua himpunan Bersih — pada 2007 dan tahun lalu, kerajaan menggunakan pasukan polis mencegah rusuhan yang bertindak menyembur meriam air dan gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan yang berkumpul di jalan raya mendesak pilihan raya adil dan bebas.
Pada perhimpunan 2007, yang berakhir dalam keadaan huru-hara, telah memberikan kesan kepada BN semasa pilihan raya umum 2008.
Tahun lalu pihak berkuasa cuba menghalang perhimpunan itu dengan manahan penyokong Bersih walaupun sebelum perhimpunan pada 9 Julai itu bermula. Mereka menegaskan kumpulan yang memakai pakaian berwarna kuning akan ditahan.
Perhimpunan aman itu menyebabkan ibu negara seperti sebuah penjara, dengan jalan-jalan utama ditutup sementara perkhidmatan awam dihentikan sementara. Sesiapa yang memakai pakaian kuning akan ditahan tanpa disoal.
“Tetapi saya rasa kerajaan telah lihat apa yang berlaku akibat tindakan mereka tahun lalu dan tidak akan menggunakan taktik sama.
“Saya rasa beberapa pengajaran penting diperoleh dari situ,” kata Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.
Selepas 9 Julai, Najib mendapati kerajaannya berulang kali menjadi perhatian media antarabangsa kerana dikatakan menggunakan kekerasan berlebihan ke atas peserta perhimpunan aman.
Para penganalisis juga percaya gerakan masyarakat sivil negara telah berkembang disebabkan himpunan Bersih 2.0.
Sebagai langkah persediaan mengawal keadaan, kerajaan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman lewat tahun lalu untuk mengawal perhimpunan aman dan membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) mengkaji pembaharuan sistem pilihan raya negara.
“Ia adalah mengapa Akta Perhimpunan Aman dirangka. Dan selain itu, cara kerajaan menangani perhimpunan yang lain — pembebasan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Liwat II), bantahan Himpunan Hijau (terhadap Lynas Corporation) di Kuantan — ia nampaknya akan menjadi lebih baik untuk mengkaji permintaan Bersih.
“Mereka (kerajaan) menjadi lebih maju, mereka memberi tempat untuk berkumpul dan mereka dengan jelas mengelak atau mencegah diri mereka daripada memberi sebab-sebab yang membolehkan pembangkang dan masyarakat menyalahkan mereka.”
Keadah ini, tambah beliau akan membantu mengurangkan kesan politik terhadap perhimpunan seperti himpunan Bersih 3.0.
“Jadi jika berlaku lebih banyak tindakan keganasan polis semasa himpunan Bersih 3.0...ia akan membangkitkan kemarahan rakyat,” kata Ibrahim.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengumumkan untuk menganjurkan himpunan Bersih 3.0, sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan laporan 22 cadangan PSC.
Bagi Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pemerhati pilihan raya boleh melakukan kesalahan dengan Bersih.
Beliau mencadangkan penganjuran perhimpunan yang ketiga disifatkan beliau sebagai “berlebihan” dan akan mengakibatkan satu tindakan balas yang ganas walaupun untuk pembangkang dan Bersih, jika kerajaan memutuskan menghalangkan perhimpunan.
“Ya, lebih banyak tentangan terhadap BN dan pihak satu lagi. Kekecohan, huru-hara, tangkapan...ada yang simpati terhadap Bersih tetapi ada juga yang tidak.
“Pengguna jalan raya, peniaga, mereka tidak akan gembira,” katanya.
Sebaliknya Agus mencadangkan semua pihak kembali kepada perbincangan untuk mencapai satu konsensus tentang bagaimana mengelakkan keadaan huru-hara di jalan raya.
Sekurang-kurangnya dua reformasi sistem pilihan raya utama, katanya, mesti dilaksanakan untuk menyelesaikan kebuntuan buat masa ini — penggunaan dakwat kekal dan reformasi undi pos.
“Isu-isu lain seperti pengundian berganda, itu boleh diselesaikan dengan dakwat kekal,” katanya.
“Perkara lain seperti membersihkan daftar pemilih boleh dilakukan kemudian. Tetapi sekarang ini, dua perkara penting ini perlu dilakukan segera,” katanya.
Namun Azmi tidak bersetuju, berkata perlu untuk Bersih mengadakan perhimpunan ketiga agar gerakan itu tidak hilang sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan