GreenCresent
Seorang ilmuan Islam tidak mungkin berfikir seperti budak-budak. Jauh sama sekali untuk dikatakan dungu. Tidak pula dipandang bodoh bila berkata-kata. Setinggi nilai keilmuan didadanya, apabila berhujah sandarannya istiqamah dengan nas-nas Al-Quran dan Hadis serta dalil yang seiringan dengan sunnah dan qias ijmak ulama. Inilah seringkas penilaian tatkala diminta menilai keintelektualan Islam seseorang itu yang setaraf ulama mahupun mufti.
Paling janggal dan dangkal pula, apabila seseorang ilmuan Islam seumpama mufti bercakap tentang isu-isu yang bukan bidang utama yang dihayati atau dialaminya. Ibarat seorang jurutera cuba merawat pesakit jantung atau seorang doktor bedah diminta membuat overhaul enjin kereta, sudah tentu akan timbul keraguan melampau kalangan masyarakat awam.
Berlagak hero
Berlandaskan bayangan tersebut, apakah patut seorang yang tidak pernah melibatkan diri dalam perjuangan parti politik, tiba-tiba berlagak hero menganalisis kemelut politik? Semestinya tidak patut sama sekali. Sepatutnya bagi mengulas gelagat perjuangan politik Islam yang berhadapan dengan politik sekular, maka terlalu banyak elemen perjuangan yang harus difahami secara penyertaan. Hakikatnya, bukan sekadar memerhati di celah tabir perjuangan itu. Justeru untuk berlaku adil, maka sesiapa sahaja boleh menilai baik buruknya perjuangan politik kepartian, asalkan ia turut terlibat dan menghayatinya. Amat salah, apabila menilainya sekadar memerhati dari celah tabir. Semestinya ia menilai ketika bersama-sama berada di depan pentas.
Ketinggalan zaman
Seorang ilmuan Islam seharusnya mendahului zaman. Justeru ilmuan seumpama mufti, seharusnya tidak bertindak secara ketinggalan zaman. Justeru pengalaman perjuangan Islam adalah sejarah yang mencipta tamadun. Namun, amat malang bila masih ada ulkama atau mufti yang masih memberi sokongan atau rasa simpati kepada perjuangan sekular yang bergelumang dengan serba-serbi penyakit nafsu dan godaan duniawi serta hasutan iblis sekaligus bertindak tajam lidahnya kepada alim-ulama yang mendokong perjuangan Islam.
Amat malang lagi, bila mana ada mufti yang menyerang dengan mata pedang, malah menyifatkan sebagai ‘keras hati’ apabila fatwanya ditertawakan oleh sesama ulama. Jelas, mufti sedemikian sudah terkeliru antara ‘keras hati’ dengan ‘istqamah’ yang menjadi prinsip ulama sipejuang. Apakah Nabi boleh dituduh seorang yang keras hati apabila berperang di medan Badar, sedangkan yang diperangi itu kalangan sebangsa dengan baginda? Soalan yang sama boleh diajukan terhadap parti PAS yang sentiasa melawan UMNO dalam setiap kali piihan raya. Amat malanglah jika menganggap tindakan PAS sebagai keras hati, kerana PAS bertegas atas prinsip dan dasar Islam, sementara UMNO sejak dulu sampai kini begitu bebal dengan pegangan kebangsaan Melayu dan sekular terhadap anutan agamanya sendiri.
Justeru itu, apakah kelayakannya untuk parti Islam berbaik sangka atau berpadu berjuang bersama dengan parti sekular yang menolak akidah perjuangan Islam? Sebaiknya parti PAS terus istiqamah tanpa tolak ansur untuk terus melawan UMNO selagi mana parti Melayu ini tidak mengubah dasar kebangsaannya kepada Islam.
Mufti yang melampau
Seorang mufti telah mengisytiharkan dirinya sanggup jadi orang tengah, tetapi belum menjadi orang tengah sudah menyerang orang yang berada di sisinya. Maka, mufti itu sudah tidak layak menjadi orang tengah. Nampak sangat mufti itu sudah beretindak senget dan condong.
Justeru antara PAS dengan UMNO, tidak wajar melantik mufti itu sebagai perantara (orang tengah). Tambahan pula, bahasa bidasannya cukup senok kerana sudah menganggap PAS di pihak yang keras hati. Sering pula membuat kenyataan yang buruk terhadap PAS, sedang kepada UMNO selalu diungkap secara baik. Semua pihak sudah mengetahui banyak kerosakan, kemaksaitan dan salah laku berlaku kalangan pemimpin dan di dalam rumah tangga UMNO.
Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut memberi respond:
Melampau dan keras hati kerana Islam
Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS
Dua akhbar harian (29 Mei 2012) nampaknya begitu ghairah mempamerkan di muka depan kenyataan seorang mufti yang berbau politik bukannya hukum. Kenyataan itu jelas mengenai saya, dan amat terang mempamerkan saya sebagai berkepimpinan melampau dan seorang keras hati.
Saya dianggap keras hati kerana berterusan mengenakan syarat “Islam” untuk bermuzakarah dengan UMNO. Soalnya, apa payahnya syarat yang saya kemukakan? Adakah menggantikan kebangsaan kepada Islam secara rasmi menjadi satu keberatan di sisi UMNO atau mana-mana individu yang simpati kepada UMNO? Tidakkah iman itu bukan hanya membenarkan di hati tetapi ikrar dengan lidah? Justeru, saya hanya meminta UMNO ikrarkan dengan rasmi bahawa dasar perjuangannya ialah Islam.
Saya kira, mana-mana individu seumpama seorang mufti yang begitu lembut lidahnya menilai hati saya sebagai keras hati, seharusnya boleh membezakan antara keras hati dengan istiqomah. VCuba fahami sikap Nabi Muhammad SAW yang hingga ke akhir hayat tidak pernah tunduk kepada pujukan kaum Musyrikin agar baginda meninggalkan seruan Islam. Nabi ditawarkan dengan kekayaan harta, wanita, dan takhta bukan sekali, bahkan berulang kali. Adakah Nabi seorang yang keras hati atau istiqamah? Maka baginda sebenarnya seorang yang istiqamah.
Amat tidak beretika apabila membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu seperti saya bukanlah satu akhlak terpuji. Amat malang jika akhlak itu menjadi pakaian seorang mufti sehingga pihak media boleh mengaitkan secara terang saya sebagai seorang individu yang keras hati. Jika benarlah begitu ia amat dikesali. Sekiranya lafaz sebegitu keluar dari orang politik yang tidak berpendidikan agama, ia mungkin boleh diterima. Sebaiknya seorang mufti boleh bersikap berkecuali dalam mengulas apa yang wartawan tanyakan. Tambahan pula, isu muzakarah yang dirujuk adalah urusan parti politik bhukanya urusan pejabat mufti. Justeru seorang mufti boleh melihatnya dari pemikiran pejabat mufti bukannya mencampuri urusan parti politik. Atas sifat sangka baik, pemikiran mufti tidaklah seperti pemikiran budak tadika.
PAS istiqamah dengan Islam
Demikian sikap saya terhadap olahan media dan mufti tersebut, maka suka saya tegaskan sesunguhnya PAS tidak sedia bertolak ansur supaya PAS melupai sejarah lalu. Sejarah PAS pernah bersama UMNO dalam Barisan Nasional yang kemudiannya disingkirkan tatkala PAS diperanhgkap oleh satu rancangan devide and rule. Akibatnya kenaan perintah darurat di Kelantan, negeri ditadbir PAS. Darurat itu adalah angkara pemimpin UMNO yang berkuasa di peringkat Pusat telah mencatat sejarah hitam. Kesanya lagi, perpecahan PAS yang melahirkan serpihan, bermula dengan Bebas Bersatu, kemudian Berjasa dan Hamim. Dalam siri perpecahan itu, PAS terjunam ke lubang masalah keyakinan. Sehingga memerlukan 12 tahun (1978-1990) pula untuk bangkit. Ia sejarah yang tidak mungkin dilupai.
Apakah sejarah yang diingat ini menyebabkan saya dilihat keras hati? Seorang mukmin telah dipesan, sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW, “Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama” (Sahih Muslim – no: 2998).
Persoalan orang Melayu
Seorang berpendidikan agama (orang agama seumpama mufti) tidak sepatutnya mempersoalkan apa jadi kepada agama dan orang Melayu setelah sekian lama UMNO memudaratkan perjuangan orang Melayu dengan dasar sekular. Sepatutnya mereka lebih tahu. Apakah kurangnya Islam di sisi UMNO sehingga Islam tidak boleh dijadikan akidah perjuangan? Tidakkah orang agama seumpama mufti terfikir, betapa selama ini pemimpin UMNO memandang ‘lekeh’ kepada kesempurnaan Islam? Hakikatnya orang yang membuang Islam dalam perjuangannya, bahawa orang itu sudah outdated atau ketinggalan zaman.
Pelik juga, bila orang agama seumpama mufti boleh menjadi tukang sibuk mengulas dan berhukum tentang politik. Agak pelik lagi, bila miripnya menyibuk menjaga kepentingan Barisan Nasional. Semacam Barisan Nasional sahaja yang dilebih-lebihkan. Apa kurang pula dengan Pakatan Rakyat yang misinya untuk membawa sesuatu yang terbaik untuk agama, rakyat dan negara. Dari segi pemimpinnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat tidak kurang kelayakannya, malah cukup teruji cekal dan setia. Semestinya cukup layak menyaingi kepimpinan Barisan Nasional yang semakin terlodeh pelbagai masalah dan korupsi.
Malah sepanjang PAS mentadbir Kelantan, sudah banyak kebaikan dilakukan yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Mana ada Menteri Besar dari UMNO yang lembut lidahnya menyeru rakyatnya agar menutup aurat, memuliakan masjid, menunaikan solat, mengimarah bulan Ramadhan dengan aktiviti ehya’ Ramadhan, bebaskan riba dan seumpamanya. Kesemua kebaikan atas nama Islam dan rakyat serta negeri tetap menjadi amalan pentadbiran PAS di Kelantan. Justeru kehidupan pelbagai kaum penuh harmoni, meskipun Kelantan ditekan dengan pelbagai helah oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di peringkat Pusat. Ia suatu bukti dasar Islam yang subur di bumi Allah SWT.
Perpaduan umat
Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu. Kehidupan untuk kebaikan semua umat manusia. Oleh sebab itu, tiada asas kekuatan untuk bersatu padu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu. Sewajarnya bagi umat dan pemimpin Islam berfikiran ke arah perpaduan atas nama Islam. Asasnya Islam adalah ajaran agama yang mulia dan semulianya di sisi agama-agama lain. Justeru PAS amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.
Atas hakikat itu, mana-mana pihak khusus orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin UMNO agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam. Begitu juga harus dipersoalkan, kenapa UMNO boleh terima kebangsaan dan tolak perjuangan politik Islam? Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga.
Justeru orang agama seumpama mufti bolehlah menjadi orang tengah untuk sebarang usaha perpaduan. Namun harus diingat sifat orang tengah, ia tidak boleh menyerang kepada satu pihak, sementara kepada pihak yang satu lagi ia menunjukkan sikap yang lebih mesra. Mana mungkin menjadi orang tengah, jika sekilas percakapan yang terungkap, orang telah tahu kita di sebelah mana. Ingat kepada pepatah, “kalau nak ukur cerdik bodoh seseorang, kena dengar percakapannya.”
Sebaiknya, demi keutuhan dan perpaduan, sikap orang agama seumpama mufti hendaklah pandai menjaga sempadan. Tidaklah ia dilihat menceroboh sempadan orang lain. Oleh kerana sistem pentadbiran negara ini mengadakan amalan pengasingan kuasa dan tugas, maka hormatilah atas tugas masing-masing. Seorang menteri besar dengan tugasnya mengurus politik kerajaan, sementara mufti pula ada tugasnya untuk menjaga urusan pejabat muftinya. Sebaiknya menteri besar dengan tugasnya dan mufti dengan tugasnya. Masing-masing tugas, tanpa mencampuri urusan orang lain demi kebaikan, asalkan sentiasa diredai Allah SWT.
Wallahu’alam.
- Semoga semua pencinta perpaduan mendapat keeredaan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan