"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada rumah: Kerajaan gagal bela penjawat awam

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Kegagalan kira-kira 60 peratus penjawat awam berpendapatan bawah RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri membuktikan kerajaan Umno BN gagal menjaga kebajikan rakyat.


Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata, kerajaan seharusnya memikirkan program yang memberikan keselesaan jangka panjang kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Selama 54 tahun BN memerintah, ini yang mereka tinggalkan untuk rakyat, penjawat awam masih belum mampu memiliki rumah sendiri.

"Sepatutnya soal pemilikan rumah harus diberi keutamaan oleh kerajaan, bukan menghabiskan duit untuk projek-projek mega atau program untuk kesan jangka pendek sahaja malah tak mencapai sasaran pun. Rakyat biasa merintih tak ada rumah sendiri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutama di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Cuepacs menjangkakan fenomena ini akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

Mengulas perkara tersebut, Anuar berkata, PAS bersetuju dengan tuntutan Cuepacs agar kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan.

"PAS bersetuju dengan saranan Cuepacs itu dan Pakatan Rakyat juga mengutamakan soal pemilikan rumah kepada rakyat, bukan penjawat sahaja," katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan seharusnya mempercepat pelaksanaan gaji minimum agar rakyat yang berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat.

"Pentadbiran kerajaan tidak bersifat manusiawi jika tidka memikirkan perkara ini.

"Gaji hanya cukup-cukup makan dengan harga barang semakin naik, perbelanjaan lain, bagaimana nak membeli rumah?" soalnya.

Tiada ulasan: