Shahbudin Husin
Kekerapan Tamrin Tun Ghafar muncul berceramah di pentas Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya menimbulkan kegelisahan kepada kepimpinan UMNO. Sejak menulis surat kepada Najib pada 23 April lalu yang banyak mengkritik kepimpinan Perdana Menteri itu dalam menangani pelbagai masalah dalam negara, sambil meminta segera diperbaiki segala kerosakan yang berlaku itu, Tamrin tidak lagi dilihat sebagai pengkritik yang membina oleh Najib dan UMNO.
Walaupun pelbagai teguran dan pandangannya ke arah untuk memperbaki kelemahan UMNO, Najib nampaknya tidak gemar terhadap kritikan itu. Najib lebih melihat kritikan sebagai ancaman manakala bodek sebagai tanda sokongan.
Meski Najib dan UMNO selama ini hanya berdiam diri atas tindakan Tamrin berceramah itu, mereka sebenarnya tidak mati akal untuk melawan apa yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka itu. Selama muncul kembali berceramah di atas pentas Pakatan Rakyat dan menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan negara, tidak pernah kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan UMNO terhadap tindakan beliau itu.
Rupa-rupanya dalam berdiam diri, strategi tetap juga diatur.
Difahamkan Tamrin sudah pun menerima panggilan misteri yang memintanya menghentikan semua tindakannya menegur dan mengkritik Najib itu. Tamrin juga diminta tidak lagi menerima jemputan oleh Pakatan Rakyat untuk berceramah di mana-mana tempat.
Tamrin hanya diberi tempoh seminggu untuk memutuskan pendiriannya itu dan sekiranya gagal berbuat demikian, pimpinan UMNO difahamkan akan memulakan serangan peribadi terhadap dirinya. Serangan itu termasuk menyelongkar kembali pelbagai perkara yang pernah dilakukan Tamrin ketika menjadi Ahli Parlimen dahulu. Media arus perdana juga akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat itu.
Tujuan serangan itu tidak lain ialah untuk melemahkan beliau daripada terus aktif berceramah di atas pentas Pakatan Rakyat, menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat yang mendengar ceramahnya serta untuk mengaibkan keluarganya.
Sejak kembali aktif bersama Pakatan Rakyat, Tamrin sudah berceramah ke seluruh negara dengan pengundi daripada kalangan ahli UMNO dan atas pagar semakin berminat mendengar ceramah yang disampaikannya. Mereka bersalam menemuinya, memeluk dan mengucapkan tahniah dan berharap agar terus berdiri bersama Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum diadakan.
Sebagai bekas pemimpin UMNO dan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba, kemunculan Tamrin memang dinanti-nantikan oleh rakyat di mana-mana beliau berceramah kerana rakyat ingin mendengar pandangan daripada ahli UMNO sendiri mengenai pergolakan dalam negara ini.
Ceramah beliau di merata tempat sering dihadiri oeh ribuan orang dan terbaru Tamrin berceramah di Himpunan Hijau di Johor Bharu bersama pimpinan tertinggi PAS yang dihadiri oleh lebih 20 ribu orang.
Hakikatnya dengan Tamrin yang masih mengaku sebagai ahli UMNO tetapi mengkritik Najib dan pelbagai perkara yang dilakukan oleh pimpinannya, UMNO mulai gelisah dan terpukul kerananya.
Sebelum ini bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir juga muncul di pentas Pakatan Rakyat dan akhirnya mengambil keputusan keluar daripada UMNO dan kini menubuhkan parti baru iaitu Ikatan.
Beberapa pihak lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Bung Mokhtar Radin, Lajim Ukin dan lain-lain pemimpin UNNO juga kerapkali mengeluarkan pendirian kritikal terhadap Najib, UMNO dan kerajaan atas pelbagai isu sejak akhir-akhir ini. Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kepimpinan Najib turut dipertikaikan daripada dalam parti itu sendiri.
Menjelang pilihanraya umum ini, serangan dan kritikan daripada kalangan UMNO sendiri pastinya menambahkan kesukaran kepada Najib untuk mencapai kemenangan. Sebagaimana tindakan Kadir sebelum ini turut menyebabkan peribadinya diserang dan apa yang dilakukan semasa dalam UMNO diungkit kembali, kaedah yang sama nampaknya cuba dilakukan terhadap Tamrin.
Menggunakan serangan peribadi untuk melemahkan seseorang yang dilihat sebagai ancaman kepada UMNO sebagaimana yang berterusan dilakukan terhadap Anwar Ibrahim, kini menjadi cara paling mudah bagi UMNO untuk menangkis serangan terhadapnya. Bermula dengan keengganan meletak jawatan apabila diugut oleh Mahathir pada 1998, kemudian dipecat, dipukul, dipenjarakan serta dituduh dengan pelbagai dakwaan serta andaian, Anwar sehingga hari ini terus menerus diserang peribadinya dengan tujuan melemahkan dirinya, mengaibkan keluarga dan menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat. Anwar seboleh-bolehnya akan dihalang dengan apa cara sekali pun untuk mara menuju Putrajaya.
Dengan Tamrin yang kini dilihat menambahkan ancaman kepada Najib dan UMNO, kaedah yang sama juga cuba digunakan. Tamrin kini diberi tempoh seminggu untuk membuat keputsan - berpatah balik kepada UMNO atau diri dan keluarganya bakal diaib serta dimalukan.
Kita tunggu apa bakal berlaku selepas seminggu nanti
1 ulasan:
aku telanjang hang, hang telanjang aku, semua ni geng desparado, yg pas dok terima yg terkeluaq ring buat apa, pas pun desparado....i welcome comments
Catat Ulasan