"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara Pasukan Wawasan dengan Pasukan Trio

Zabidi Saidi
PETALING JAYA: Semalam calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir membidas Pasukan Trio yang dilihat berpakat mahu mengekalkan kedudukan masing-masing semasa pemilihan parti Oktober depan.

Pasukan Trio yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Kedah itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi- (1,592 undi)

Datuk Seri Hishamuddin Hussein (1,515 undi) -Datuk Seri Shafie Apdal (1,445 undi).

Pasukan Trio itu menang pada tahun 2009 mengalahkan lima calon lain, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (1,397 undi), Tan Sri Dr Rais Yatim (491 undi), Tan Sri Isa Samad (432 undi), Tan Sri Syed Hamid Albar (410 undi) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (192 undi).

Kali ini Pasukan Trio itu berhadapan dengan tiga calon lain iaitu Mukhriz, Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Kesepakatan

Menurut Mukhriz, kesepakatan itu jelas tidak mempamerkan amalan demokrasi yang dikehendaki parti.

Katanya, beri peluang kepada perwakilan untuk menentukan siapa yang layak jadi Naib Presiden Umno.

Mampukah Pasukan Trio ini menang? Kebetulan mereka bertiga adalah menteri pusat (Menteri Dalam negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar). Maka kelebihan ini ada pada mereka untuk menjelajah seluruh negara dengan mengadakan program kementerian masing-masing sedangkan Mukhriz adalah Menteri Besar Kedah manakala Isa dan Ali bukannya menteri.

Tetapi sebagai Pengerusi FELDA, Isa ada kelebihan untuk melawat bahagian-bahagian yang ada kawasan FELDA. Begitu juga Ali yang dilantik Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bebas bergerak ke seluruh Malaysia walaupun beliau bukan menteri.

Pergerakan Mukhriz agak terhad kerana dia kena jaga Kedah tetapi kita harus ingat jika beliau dapat sokongan Kelab Menteri Besar maka peluang Mukhriz untuk menang adalah cerah, Tentu kita masih ingat Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menang jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 1984 kerana mewakili Kelab Menteri Besar.

Menaja

Bercakap tentang Pasukan Trio ini, kita teringat kepada Pasukan Wawasan yang dibentuk pada pemilihan 1993. Ketika itu calon Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaja Pasukan Wawasan untuk jawatan Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Arus Pasukan Wawasan begitu kuat menyebabkan dua penyandang jawatan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid kalah pada pertandingan Naib Presiden tahun 1993 itu.

Adakah Pasukan Trio sekuat Pasukan Wawasan? Mampukah Pasukan Trio ini mempertahankan jawatan? Kita tentu masih ingat sekuat-kuat Pasukan Wawasan akhirnya pasukan itu pecah pada tahun 1996 apabila Muhyiddin tewas. Dua orang ahli Pasukan Wawasan sahaja yang berjaya iaitu Najib dan Muhammad apabila Pak Lah yang bukan dari pasukan tersebut berjaya mengalahkan Muhyiddin.

Mampukah Mukhriz mengalahkan salah seorang dari Pasukan Trio ini? Siapa yang terpelanting di antara Zahid-Hishamuddin-Shafie jika Mukhriz menang? Kalau perwakilan mahu Naib Presiden yang muda, mungkin Zahid yang sudah berumur 60 tahun itu akan tersingkir (Hishamuddin-Shafie-Mukhriz).

Tetapi kalau perwakilan beri satu tempat untuk seorang dari Sabah, maka yang tersingkir sudah pasti Hishamuddin. (Zahid-Shafie-Mukhriz) tetapi kalau berdasarkan prestasi, mungkin yang tersingkir adalah Shafie (Zahid-Hishamudin-Mukhriz).

Tembok

Jika Mukhriz berjaya menembusi tembok Pasukan Trio ini, tidak mustahil Ali yang popular itu mendapat tempat juga sebagai Naib Presiden Umno. Jika kombinasi ini berlaku, yang menang adalah Zahid-Mukhriz-Ali manakala dua calon Pasukan Trio yang kalah ialah Hishamuddin dan Shafie.

Benarkah Najib mahu Pasukan Trio dikekalkan? Jika benar, kita akan lihat pertembungan di antara pengaruh Najib dengan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melihat Mukhriz menang. Terpulang kepada 146,000 orang perwakilan untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan: