"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa pula selepas Turun ...

AHMAD LUTFI OTHMAN
Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) pada malam 1 Januari 2014, bagi saya, memang istimewa. Jarang demonstrasi aman diadakan pada waktu malam, apatah lagi bersama sambutan ambang tahun baru, di Dataran Merdeka pula, yang turut menyaksikan konsert anjuran DBKL.

Tentu sekali ia bukan semata-mata perarakan santai melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Raja Laut, dalam suasana agak kondusif -- tak perlu perlu berpeluh di bawah panas terik -- sambil bertemu ramai kenalan lama dan baru, bertukar-tukar cerita, di samping peniaga kecil mendapat laba lebih besar disebabkan permintaan meningkat dengan mendadak.

Isu kos sara hidup yang mencanak naik bukan hal remeh. Ia isu besar yang rgent, kritikal, menyentuh denyut nadi kehidupan majoriti rakyat, mengasak penghuni kosmopolitan dan juga menghimpit warga desa.

Justeru, sejak mendapat tahu Gabungan Mahasiswa Islam Mahasiswa (Gamis), diterajui Azan Safar, mahu mengangkat persoalan kenaikan kos sara hidup sebagai agenda nasional yang mesti diberi perhatian serius, tanpa ragu saya memberikan sokongan sepenuhnya.

Sesungguhnya saya sentiasa percaya bahawa golongan mahasiswa, dalam apa juga zaman dan situasi, mempunyai peranan terpenting, bagi membela dan memperjuangkan nasib rakyat yang menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan elit penguasa.

Ya, semangat dan inspirasi "demonstrasi Baling 1974" yang juga digerakkan mahasiswa rupanya belum berakhir. Kemiskinan yang dahulunya membarah di kawasan kampung terpencil kini menyesakkan nafas penduduk kota-kota besar.

Ada kalanya kemelaratan di bandar lebih menyeksakan. Dan itulah yang dialami sekarang. Pendapatan bulanan sekitar RM4,000 belum dapat membebaskan keluarga daripada jerutan kehidupan seharian.

Malah kenaikan barangan dan perkhidmatan, termasuk kadar tol, tarif elektrik, cukai pintu, juga keperluan dapur yang tidak pernah turun-turun lagi -- diikuti senarai kenaikan yang lebih panjang -- menyebabkan rakyat makin gelisah dan resah.

Isu yang dibangkitkan Turun ini benar-benar real dan mendesak sekali. Ia lekat kukuh di sanubari rakyat. Buktinya, meskipun "media talibarut", khususnya Utusan Malaysia dan TV3, melancarkan siri fitnah melampau -- lebih mengaibkan, ada sumbernya daripada pihak polis sendiri -- namun sambutannya luar biasa. Masyarakat terpanggil untuk turun menyuarakan hasrat hati yang terbuku.

Malam Rabu lalu, sebelum bertolak dari Ampang ke ibu kota, menggunakan perkhidmatan LRT, untuk menyaksikan dari dekat amarah rakyat di himpunan Turun, sempat saya menonton Buletin Utama, yang tentunya akan terus "menghasut".

Di saat-saat akhir, ketika Dataran Merdeka mula menjadi tumpuan, TV3 tetap cuba "memujuk" dan "mengugut" agar menghindari demonstrasi. Himpunan mendesak kerajaan supaya prihatin dengan isu kenaikan kos sara hidup dan bertindak menurunkannya digambarkan sebagai usaha menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Guling" tiba-tiba saja menjadi istilah yang cukup popular. "Mana tahu, dek kerana kerap sangat diratibkan oleh TV3 dan Utusan, maka dalam PRU14 nanti, terguling betul kerajaan BN ini!" sambut seorang rakan dalam Facebook.

Semasa tren LRT melintasi persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, berdepan Dataran Merdeka, saya melihat ke bawah, ada sekatan polis menghalang peserta Turun. Ramai juga berkumpul. Sengaja saya berhenti di stesen LRT Bandaraya, dan bukannya Masjid Jamek, untuk melihat suasana berdekatan Kompleks Sogo.

Mungkin ada perarakan dari Pejabat Agung PAS dan bertemu dengan orang ramai yang biasanya selesa dengan kawasan sekitar Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia juga mengingatkan kenangan ledakan era reformasi 1998 yang bersejarah dan kemudiannya membuka lembaran politik baru tanahair.

Ditemani dua anak lelaki, saya yang masih bertongkat mengheret kaki perlahan, menikmati lingkungan yang cukup menyenangkan. Jalan tiga lorong sesak di kiri kanan, dengan gemuruh tiupan "trumpet plastik".

Rata-rata adalah anak-anak muda, lelaki dan wanita, pelbagai bangsa. (Saya kira sebahagiannya pelajar universiti dan agak ramai juga yang pernah saya temui). Tetapi tidak terkecuali keluarga besar -- saya perhatikan ada anak, ibu-ayah dan juga datuk-nenek -- yang berjalan secara berkumpulan, hatta ada ibu muda yang mendukung bayi kecil.


Wajah mereka nampak ceria dan gembira, seolah-olah bersiar-siar menghidup udara segar. Mungkin ada yang mahu menghabiskan cuti hujung tahun bersama demonstrasi aman, yang disifatkan Utusan Malaysia dan TV3 sebagai aksi menggulingkan kerajaan.

Seingat saya, malam itu, empat kali terserempak dengan sekawan pelancong asing, yang kelihatan ingin tahu apa yang berlaku. Adakah perhimpunan aman tanpa senjata menakutkan mereka? Bukankah demonstrasi bagi masyarakat maju adalah lumrah dan sebahagian daripada amalan demokrasi yang matang?

Beberapa anak muda bermotosikal, dengan sopan mempelawa saya membonceng, mungkin simpati melihat saya bertongkat berjalan perlahan. "Tak apa, terima kasih, dik, sengaja nak senaman dan ambik angin malam," saya menolak.

Sebenarnya sejak diserang strok, kaki saya sukar "dilentur" dan keadaan ini menghalang saya membonceng, apatah lagi menunggang motosikal.

Boleh dikatakan setiap kali menyertai perarakan besar, misalnya siri Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan Black 505, pasti ada anak muda, khususnya anggota Unit Amal PAS, yang menawarkan khidmat untuk memudahkan saya sampai ke destinasi, sedangkan saya lebih gemar menikmati kemeriahan berarak beramai-ramai.

Bukan sekadar terjumpa sahabat lama, yang puluhan tahun tidak ketemu, tetapi lebih mengujakan bila disapa pembaca Harakah yang datang dari seluruh pelosok negara dan dapat bertukar-tukar idea spontan dengan mereka Saya jangkakan, publisiti negatif media dan polis banyak membantu promosi Turun!

Ketika menghimpit masuk ke Dataran Merdeka, selepas diberi laluan oleh anggota polis yang budiman, seorang lelaki tua, mungkin dalam usia 70-an, menarik tangan saya. Dari utara Perak dia datang. Bersemangat sekali berkongsi rasa, menegur gaya hidup PM dan isterinya.

Sebelumnya, berdepan Restoran Insaf, sempat bersembang dengan anak muda dari Pasir Puteh, Kelantan. Rombongan kecil dari Tanjong Karang turut menunjukkan tanda sokongan. "Kami dah tua, terpaksa duduk saja, tak larat nak jalan ke depan lagi," kata seorang daripadanya, walaupun nampak uzur, tetapi cerah wajahnya, bercahaya matanya.

Seorang Yang Dipertua PAS kawasan dari selatan tanahair membisik: "Kalau ada arahan rasmi pimpinan supaya kita turun malam ini, tentu lebih ramai, 'kan? Kenyataan Ketua Pemuda pun dibuat di saat-saat akhir. Saya tak nampak mengapa PAS perlu jarakkan diri dengan program rakyat ini."

Sebenarnya tiga atau empat orang juga yang bertanya saya, siapa pimpinan tertinggi Pakatan yang turun malam itu. "Rasanya ada Salahuddin Ayub dan Rafizi Ramli, selain Suhaizan Kaiat," jawab saya, agak ragu-ragu. Mereka seolah-olah tidak berpuas hati dengan kehadiran VVIP.

"Ini inisiatif anak muda, sebahagiannya pimpinan mahasiswa. Mungkin Pakatan ada perancangan lain, yang lebih besar, macam demo Bersih, juga tangani isu kenaikan kos hidup ini, dengar kata menjelang Hari Pekerja, 1 Mei nanti," saya cuba memuaskan hati mereka.

"Saya nampak kurang sangat banner, bunting dan poster yang dipamerkan malam ini, begitu juga risalah mengenai tuntutan kita," seorang daripada mereka mengeluh. "Jangan ambik mudah hal ini," katanya.

Saya terpaksa pulang awal, sebelum jam 12 tengahmalam. Pertama, untuk mengelak kesesakan berhimpit dalam LRT. Kedua, menyiapkan deadline Harakah sebelum Subuh 1 Januari 2014.

Tiba-tiba bertembung dengan seorang rakan, wartawan. "Kita sibuk menjerit dan marah dengan kenaikan kos hidup malam ini, tetapi siapa yang dengar? Najib (Razak) bukan saja tak ada di Dataran Merdeka untuk "countdown" tapi dia dan ramai lagi menteri lain masih bercuti di luar negara," ujarnya. "Khabarnya Najib ke Australia dan Amerika," tambahnya lagi.

Saya tidak kisah sama ada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor bercuti di Sydney mahupun Los Angeles ketika lebih 50,000 berdemonstrasi pada malam tahun baru, namun yang pasti langkah yang diumumkannya untuk mengurangkan belanja kerajaan dan elaun keraian tidak dapat membendung rasa tidak puas hati rakyat.

Pemborosan, pembaziran dan rasuah masih tidak ditangani secara serius. Dana awam masih menjadi lubuk untuk para kroni dan elit penguasa membolot khazanah negara.

Cuma, jika Najib belum tersentak dengan himpunan Turun ini, maka perlu difikirkan langkah susulan dalam kadar segera. Dan lupakan tohmah dan mehnah media -- sekadar menurut skrip lama -- yang pastinya akan memburuk-burukkan secara berterusan apa jua himpunan rakyat sebagai "keganasan" meskipun ia berjalan aman.

1 ulasan:

uda rock berkata...

mohon bantuan pautan di blog anda. http://bicaraworld.blogspot.com/