LUAR biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam.
Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka. Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!
Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti pernah saya lakukan membantu membawa ibu ke tokong untuk dia sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan lain-lain, ihsan anak kepada orang tua.
Tetapi jika masuk sekadar suka-suka atau mendapat mileage politik, pada saya, ia perlu difikirkan. Kenapa sebelum ini tidak pernah lakukan? Adakah pemahaman kita dahulu terhadap Islam tidak seliberal hari ini?
Ingat! Jangan terlalu bersangka baik, sedangkan orang lain sebaliknya. Minggu lalu, rakan Kristian saya beritahu keadaan sebuah gereja di Jalan Kelang Lama. Seorang pastor India dari Singapura dijemput menyampaikan syarahan, bermula jam 7.30 – 11.30 pagi, yang dihadiri lebih 1,000 orang Cina Kristian.
Syarahan itu penuh dengan emosi dan memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu. Beliau menceritakan bagaimana orang Cina disembelih di Singapura ketika kependudukan Jepun.
Pastor tersebut menambah, perkara sebegini tidak mustahil berlaku kepada orang Cina di Malaysia tidak lama lagi. Pastor itu merujuk kepada penyembelihan yang akan dilakukan oleh orang Melayu terhadap orang Cina.
Peliknya bagaimana pastor tersebut boleh memberi syarahan sedemikian rupa di sini, sedangkan beliau adalah warga Singapura? Sejarah kependudukan Jepun di Tanah Melayu, termasuk Singapura, perlu difahami secara mendalam, bukan dengan emosi dan kecetekan ilmu.
Negara Jepun–China mempunyai sejarah permusuhan yang panjang sehingga ke hari ini. Kedua negara ini pernah berperang dan saling berdendam. Kesempatan menduduki Tanah Melayu (1941-1945) telah dipergunakan oleh Jepun sepenuhnya untuk membalas dendam terhadap orang Cina. Kebetulan mangsanya adalah Cina yang berada di Tanah Melayu.
Bagi menyelamatkan diri, orang Cina lari ke hutan dan menyertai parti komunis (MPAJA atau Bintang 3). Jepun terus memburu Cina. Orang Cina bertindak balas dan Jepun semakin marah.
Sebab itu, dari dahulu saya katakan, sejarah membuktikan, perjuangan komunis MPAJA bukan untuk memerdekakan Tanah Melayu. Tetapi membalas dendam terhadap Jepun.
Sejarah ini cuba diputar-belitkan dengan segelintir Cina yang mengatakan, MPAJA adalah pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan tugu peringatan MPAJA telah didirikan di Taman Peringatan Nilai. Malangnya, pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa walaupun ramai pakar sejarah telah bersuara.
Kenyataan paderi tersebut sekali lagi bercanggah dengan fakta sejarah. Pihak Imigresen mesti bertindak terhadap orang sebegini, kerana mengancam keselamatan negara.
Berdasarkan pengalaman berceramah di Singapura, kita tidak dibenarkan sama sekali menyentuh isu-isu sensitif, sekalipun fakta itu benar. Misalnya, kekejaman Amerika-Israel, Yahudi, sejarah Singapura-Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu di sana. Persoalannya, kenapa kita boleh biarkan orang luar berceramah tanpa garis panduan?
Saya yakin bukan Melayu di sini mendapat pembelaan walau tidak sepenuhnya, berbanding Singapura. Kira berapa banyak bilangan rumah ibadat berbanding dengan penganutnya, sehingga menenggelamkan penganut agama majoriti. Kadangkala dalam lingkungan satu kilometer, terdapat hampir 10 rumah ibadat. Bagaimana dengan Singapura?
Justeru, saya memohon kepada sesiapapun yang ingin bertanding di Kajang, jangan kerana terlalu obses untuk menang, kita menggadaikan segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk mendapat undi dan nafsu serakah politik.
Ingatlah, sekali maruah dan hak tergadai, sukar untuk dicari ganti./Sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan