TELUK INTAN: RM9,000 sebulan. Kedengaran seakan mustahil, namun itu yang dikatakan berlaku pada kadar sewa homestay (inap desa), di sini, sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan berlangsung.
Keadaan itu dikatakan berlaku berikutan permintaan tinggi pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan yang menempatkan petugas PRK.
Meskipun mengenakan kadar sewa tinggi berbanding hari biasa, Sinar Harian dimaklumkan, tetap menjadi pilihan.
Pelanggan, Rosli Ahmad ,39, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain bersetuju untuk memudahkan gerak kerja sepanjang PRK ini.
Bagaimanapun menurutnya, terdapat juga sesetengah pengusaha yang sengaja menaikkan harga bagi mengaut keuntungan.
“Pada mulanya, pengusaha mahukan saya menyewa rumah tersebut dalam tempoh satu bulan dengan harga RM4,000 dan saya bersetuju dengan harga itu.
“Namun, beberapa hari kemudian, ketika saya mahu membayar duit deposit, pemilik memaklumkan pada saya perlu bayar RM9,000 dalam tempoh sebulan .
Walaupun ada rasa tidak puas hati, namun saya terpaksa juga membayar jumlah yang diminta kerana sudah tiada pilihan lain,” katanya.
Bagi pengusaha homestay yang mahu dikenali sebagai Khairul Amri, 40, tidak dinafikan, kempen PRK menyebabkan ramai antara pengusaha mengambil kesempatan untuk menaikkan kadar sewa.
Jelasnya, perkara itu dianggap biasa dan diumpamakan sebagai rezeki penduduk tempatan.
“Kalau ada orang kata ambil kesempatan, itu adatlah, mana-mana tempat pun berlaku, tetapi tidaklah sampai naik berganda-ganda.
“Saya sendiri pun hanya naikkan sekitar RM50-RM100 sahaja, kalau hari biasa saya kenakan RM200, untuk PRK sewa jadi RM280 sehari,” katanya.
Azim Mokhtar, 50, pula berkata, khabar mengatakan ada yang mengenakan sewa antara RM4,000 hingga RM9,000 itu wujud, namun tidak diketahui tahap kesahihannya.
Katanya, perkara seumpama itu mungkin berlaku atau hanya sebaran maklumat tidak tepat seperti terjadi di kebanyakan homestay pada musim PRK terdahulu.
“Entah betul atau tidak, mungkin itu cerita sahaja, saya sendiri pun hanya naikkan sekitar RM50 berbanding harga asal,” katanya.
Buat tempahan awal
Kebimbangan kemungkinan tiada lokasi penginapan menyebabkan ramai pihak membuat tempahan awal bagi hotel dan homestay di Teluk Intan.
Pengusaha homestay yang ingin dikenali sebagai Saidah Mukhti, 45, berkata, panggilan tempahan diterima sejak 2 Mei lalu iaitu sebaik laporan kematian mendiang, Seah Leong Peng dilaporkan.
“Banyak panggilan kita terima, rata-rata pelanggan buat tempahan untuk tempoh seminggu hingga tamat pengundian.
“Mula-mula terkejut juga, sebab selalu orang buat tempahan satu atau dua malam sahaja, inilah dikatakan rezeki,” katanya.
Pendapat sama diutarakan Zainal Sidek, 52, yang memaklumkan, tiga homestay miliknya sudah ditempah sejak awal Mei lalu.
Jelasnya, kebiasaan, orang ramai akan membuat perbandingan harga dahulu antara satu homestay ke homestay lain, tetapi kali ini, tempahan diterima secara terus.
“Tak payah tunggu-tunggu, mereka telefon lalu tanya harga dan terus setuju.
“Kita pun sudah jangka, biasa bila ada kematian wakil rakyat, memang akan ada pilihan raya kecil dan tempahan penginapan mesti yang mereka cari dulu,” katanya.
Tinjauan di beberapa hotel tempatan juga mendapati, rata-rata sudah menerima tempahan awal, sebelum tarikh PRK diumumkan lagi.
Apabila ditanyakan ke kaunter mengenai bilik kosong, kebanyakan maklum balas yang diterima adalah fully booked!--sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan