NAZRI ABDULLAH
BALING: Saksi-saksi hidup dalam peristiwa berdarah Memali 1985 mendakwa, kebanyakan fakta yang dimuatkan dalam kertas putih yang dibentang di parlimen berkait peristiwa itu adalah tidak benar.
Sanggahan itu dibuat melalui satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' di Kampung Memali petang tadi.
Forum itu diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat yang berlangsung hari ini.
Sembilan saksi ditampilkan dalam forum ini iaitu Bekas Senator Datuk Mohammad Yusof Husin, Azmi Salim, Zaman Mahmud, Zakaria Abdul Rahman, Ramli Che Mit, Osman Salleh, Radziah Rozali, Aisyah Ahmad dan Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.
Kesemua mereka adalah antara mangsa yang ditahan selepas berlakunya peristiwa hitam itu, serta balu-balu kepada mereka yang terkorban dalam insiden itu.
Mohammad Yusof, yang merupakan orang kanan kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, berkata fakta dalam kertas putih sengaja dibuat bagi menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa yang telah menyebabkan 14 orang terkorban dalam insiden itu.
"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya yang namanya disebut sebanyak 16 kali dalam kertas putih.
Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Ucop, turut dituduh sebagai ketua mujahidin, dan timbalan ketua gerakan revolusi dalam kertas putih itu.
Menurut Pak Ucop, punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ustaz Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.
"Dia pernah kata, dia tak redha ditanggkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya lagi.
Mengulas dakwaan dalam kertas putih, kononnya rumah Ustaz Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi, beberapa saksi lain turut menyanggah.
Radziah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ustaz Ibrahim.
Dakwaan bahawa terdapat lebih 100 orang di rumah Ustaz Ibrahim ketika hari kejadian dengan bersenjata parang juga turut disanggah.
"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.
"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.
"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.
Pak Ucop kemudiannya menjelaskan, ketika kejadian tak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ustaz Ibrahim dan bukan seperti dilaporkan di dalam kertas putih itu.
Dalam kertas putih tersebut, Ustaz Ibrahim Libya juga didakwa memakai azimat dan mengamalkan ajaran khurafat kononya bagi tujuan ilmu kebal dan pelindung diri.
"Kalau pakai azimat, tak mati la. Tapi semua yang kena tembak itu mati.
"Maknanya tuduhan itu tak betul," kata salah seorang dari mereka.
Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali petang tadi itu turut dihadiri lebih 1000 hadirin.
Malam ini pula akan berlangsung ceramah perdana oleh pemimpin PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan