"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa di sebalik kemurkaan Sultan Selangor terhadap Khalid Samad

Aziz Bari

Terdapat laporan Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah murka terhadap ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad baru-baru ini (16 Julai Utusan Malaysia). Baginda dilaporkan kecewa kerana cadangan Khalid agar MAIS dilucutkan kuasa. Selepas itu, pada 17 Julai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa siasatan akan dijalankan ke atas ahli parlimen itu di bawah Akta Hasutan. Saya terkejut kerana Khalid Samad tidak membuat kenyataan tentang kuasa Sultan selaku pemimpin agama di Selangor.


Beliau hanya berkata bahawa pindaan perlu dibuat oleh DUN Selangor bagi melucutkan kuasa majlis agama Islam itu. Malah perkara ini difahami kerana MAIS dan JAIS, yang dibawah kuasa Sultan, telah mencampuri urusan penganut Bukan Islam. Kedua-dua agensi ini turut melakukan serbuan ke atas permis seperti gereja dan pejabat. Ini turut melibatkan rampasan beberapa ribu naskah Bible daripada Persatuan Bible Malaysia serta serbuan ke atas majlis perkahwinan agama Hindu di Shah Alam.
Bagi melihat secara lebih tepat, mungkin kita perlu meninjau struktur perlembagaan di mana Sultan merupakan ketua agama Islam di negeri jajahannya. Dalam melaksanakan tugas ini, Baginda diberi kebebasan dengan mengambil kira nasihat yang diberi kerajaan negeri.

Untuk membantu tugasnya, Baginda dibenarkan melantik satu majlis yang terdiri orang-orang yang terpilih. JAIS bertanggungjawab di dalam pentadbiran agama termasuk masjid serta kutipan zakat. Jelas, kerajaan negeri tidak punyai kuasa di dalam pentadbiran hal-ehwal Islam dan ini berlaku sejak kemerdekaan lagi. Perkara ini dibincangkan Raja-Raja serta pemimpin Umno dan Perikatan sejak sebelum merdeka.

Perkara ini perlu jelas kerana pelbagai pihak bertanya tentang peranan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam beberapa isu. Namun sebenarnya pentadbiran agama bukan di dalam bidang kuasanya. Memang benar ada seorang Exco Agama tetapi tugasnya lebih kepada menyelaras atau membantu agensi lain yang diterajui Sultan.

Bagaimanapun peranan MAIS dan JAIS selepas 2008 mula dipersoal apabila mereka mencampuri urusan penganut bukan Islam. Sultan mempunyai kuasa di dalam hal-ehwal ajaran Islam tetapi tidak bagi ajaran penganut bukan Islam. Kerana inilah Khalid Samad memberi cadangan bahawa kuasa MAIS perlu dikekang. Pentadbiran Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kecelaruan yang ditimbulkan MAIS dengan menggunakan nama Sultan. Malah mereka enggan menerima keputusan Peguam Negara agar mengembalikan Bible yang dirampas.

Bagaimanapun MAIS mendengar saranan daripada Umno-Barisan Nasional di Putrajaya. Ini menyebabkan mereka kerap terlepas daripada tindakan. Sama juga di dalam persetujuan 10-perkara yang dibuat kerajaan persekutuan bagi mengambil hati penganut Kristian di Malaysian Timur. Mahkamah Rayuan bagaimanapun melarang penggunaan kalimah Allah sambil berkata persetujuan itu tidak sah.

Jadi Sultan murka kerana ahli majlis itu dipilih baginda. Tetapi MAIS tidak bertindak mencerminkan sikap atau tindakan Sultan. Malah ramai yang merasakan tindakan MAIS lebih mirip Umno-BN.

Apa sahaja kedudukan MAIS di bawah Perlembagaan, menurut undang-undang majlis itu wujud dengan sendiri. Ia boleh disaman dan atau mengemukakan tindakan saman. Ini tertulis di dalam enakmen yang diluluskan undang-undang negeri. MAIS juga syarikat yang mengendali perniagaan dan mempunyai sebuah kolej universiti. Ia memantau kutipan dan pengurusan zakat dan pada 2013, Lembaga Zakat Selangor berjaya mengutip RM517 juta.

Namun akibat tindakannya sejak 2008, ahli parlimen Shah Alam mempunyai alasan yang kukuh bagi meminta kuasa statutori majlis itu dikaji semula. Pada 17 Julai, Khalid turut berkata beliau berniat menjaga nama baik Tuanku Sultan. 

Tiada ulasan: