"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu kecil hati dituduh berkomplot jatuhkan presiden: 'Saya manusia bukannya dibuat dari plastik'

SHERIDAN MAHAVERA
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikecam ahli parti kerana dikatakan berkempen menentang presiden parti menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan bagaimana beliau berkempen bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau juga berkempen untuk bekas ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, apabila beliau bertanding kerusi Temerloh tahun lepas.

Nasrudin dianggap suara yang berpengaruh antara golongan konservatif parti, juga antara yang tidak dipersetujui Mat Sabu.

Mat Sabu berkata beliau menolong Hadi dalam memenangi kerusi parlimen di Marang, Terengganu. Hadi berada di belakang calon Umno pada masa itu dan hampir kalah.

"Apabila saya mendengar Nasrudin susah mendapat sokongan kaum Cina, saya turun padang untuk bercakap kepada mereka dan bawa Nasrudin untuk memberitahu mereka inilah calon (Pakatan Rakyat). Tolong undi dia," kata Mat Sabu.

Mat Sabu berkata, Hadi dan Nasrudin dapat menang sementara beliau sendiri kalah di Parlimen Pendang.

"Mereka katakan saya cuba jatuhkan presiden. Tetapi apabila saya dengar presiden akan kalah di Marang, saya pergi ke Terengganu untuk buat sebaik mungkin.

"Saya tidak boleh terima yang presiden kita akan kalah. Pada masa sama saya tidak boleh terima bekas ketua pemuda kita (Nasrudin) akan kalah juga.

"Saya pernah bercanggah pendapat dengan Nasrudin dahulu, tetapi saya tidak boleh biarkan beliau kalah. Jadi saya tolong beliau. Akhirnya saya yang kalah tetapi tidak mengapa," kata Mohamad.

Mohamad sudah lama menjadi fokus kemarahan golongan konservatif PAS daripada sayap Pemuda ke para ulama hingga ke pemimpin bahagian di seluruh himpunan utama.

Beliau dituduh merancang kempen menentang Hadi selepas mempersoalkan keputusannya dalam krisis menteri besar Selangor.

Semasa himpunan Pemuda ketika beliau memberi ucapan, kumpulan delegasi keluar dari dewan sebagai tanda protes.

Mohamad berkata, walaupun beliau berada di dalam parti untuk masa yang lama dan banyak pengalaman dalam dikritik, beliau masih kecil hati dengan tuduhan komplot beliau terhadap presiden.

"Saya masih manusia juga, bukannya dibuat dari plastik."
-MInsider-
----------------
Menurut Mohamad Sabu atau Mat Sabu, muktamar kali ini beliau menjadi sasaran daripada perwakilan lain untuk mengkritik tindakannya.

“Entah macam mana saya menjadi sasaran.

“Tetapi saya berasa seronok bila mereka bercakap dan berterus terang dalam mengkritik dan memberi cadangan di Muktamar kali ke-60 ini.

Katanya lagi, apa yang tidak seronok gambar beliau ada pihak yang tidak menyukai tindakannya telah membubuh cat.

“Tak seronoklah, jangan buat macam itu, muslimat marah.

“Bagi yang mengkritik itu perkara biasa. Namun perjuangan kita tetap berlandaskan Islam dan tidak akn berubah,” jelasnya.

Ujarnya, apa yang beliau cakap di depan wartawan itu semuanya berdasarkan mesyuarat yang telah diputuskan oleh semua di dalam PAS.

Pada 17 Ogos lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir dan ada masalah kesihatan.

“Tapi saya baca semua keputusan dan surat yang ditandatangani oleh Presiden. Tidak tinggal sepatah ayat pon.

“7 September juga PAS sudah buat keputusan untuk menolak jawatan menteri besar. Kami sentiasa berhubung dan mengadakan mesyuarat dalam membuat keputusan yang penting.

“Jadi tidak timbul saya mengkhianati Presiden atau membelakanginya,” katanya.

Tiada ulasan: