"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelantikan Azmin sebagai MB Selangor tak jamin krisis Pakatan selesai

HASBULLAH AWANG CHIK
Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor yang baharu hari ini tidak memberi jaminan pergeseran yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) selama ini akan berakhir, kata Datuk Husam Musa.

Naib presiden PAS itu berkata, kekuatan PR yang sebenar adalah apabila Barisan Nasional (BN) terus mengamalkan budaya rasuah dan kronisme yang terus meresap dalam kepimpinan yang diketuai Datuk Seri Najib Razak itu.

“PR ni bukan bergantung pada sesiapa (sama ada) Azmin atau Datuk Seri (Dr Wan Azizah Wan Ismail). Ia bergantung pada agenda PR.
“Selagi BN mengamalkan nepotisme, kronisme, rasuah dan tiada urus tadbir yang baik. PR akan terus kuat. Azmin atau Datin Seri bukan masalah penting,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas PKR Ketil, Pengkalan Kubor malam tadi.
Semalam, menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Datuk Mohamad Munir Bani, Azmin sah dilantik sebagai menteri besar Selangor ke-15.

Azmin, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10.30 pagi hari ini.

Menurut surat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mengulas mengenai pergeseran yang berlaku di antara kumpulan ulama dan profesional dalam PAS, Husam berkata partinya masih mencari keseimbangannya dan ia merupakan satu fenomena biasa

“Dalam PAS ini saya tak panggil kemelut. Ia tenaga atom positif dan negatif sedang mencari titik keseimbangannya.

“Bumi pun berlaku gempa kemudian jadi betul balik bumi ni. Daripada dulu pun gempa bumi ada lepas tu berlaku lagi. Ia tak berhenti,” katanya.

Husam juga diminta mengulas mengenai ucapan penggulungan Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa muktamar baru-baru ini.

Katanya, ucapan presiden PAS itu jelas menunjukkan ketegasan parti dan menampakkan parti Islam itu mempunyai hala tuju sendiri.

“Saya seronok nampak beliau tegas kerana ketegasannya penting untuk menunjukkan PAS sebuah parti yang ada pendirian,” katanya.

Sementara itu, dalam ceramahnya di Pengkalan Kubor malam tadi, Husam mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berdebat dengannya.

Katanya, debat mengenai isu royalti minyak di Kelantan itu akan memberi lebih kefahaman kepada masyarakat mengenai kelayakan Kelantan untuk menuntut wang royalti minyak daripada Petronas.

“Saya nak adakan satu debat dengan TPM malam esok, lusa pun boleh. Tok Pa pun boleh. Saya tunggu.

“Kita buat pentas mana-mana. Pentas BN pun tak apa, saya ke situ. Kalau takut ramai orang sorak, kita buat di studio siaran langsung malam esok,” katanya di hadapan 200 penduduk kampung malam tadi.

Adun Salor itu juga menyelar kenyataan Muhyiddin yang menggesa PAS menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memeriksa akaun Petronas.

Katanya, pemeriksaan akaun itu tidak boleh dilakukan PAS sebaliknya di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara dengan arahan kerajaan persekutuan.

“Seksyen 5(d) Akta Audit 1957 menyatakan Ketua Audit Negara boleh memeriksa akaun kerajaan, badan berkanun, akaun anak syarikat yang kerajaan tubuhkan.

“Petronas berdaftar dengan Akta Syarikat 1965 tetapi sahamnya milik 100% kerajaan persekutuan. Dengan itu Ketua Audit boleh periksa akaun Petronas bila-bila masa.

“Saya nak bercakap kepada Muhyiddin, kamu TPM yang ada kuasa tulis surat kepada Ketua Audit Negara dia masuk terus. Bukan payah. Boleh bentangkan di Parlimen,” katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: