Ruminah Sidek (kiri) bersama Adlin (tengah) dan AR Badul.
AMPANG: Pelakon veteran Ruminah Sidek mengaku bekas suaminya iaitu Allahyarham AR Tompel merupakan seorang lelaki yang sering menjadi perhatian dan digilai ramai wanita.
Bagaimanapun Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, berkata, watak gatal Tompel yang dipaparkan dalam telefilem Saloma siaran Astro First Eksklusif langsung tidak menggambarkan identiti bekas suaminya itu.
"Rasa sedih pula bila tonton telefilem Saloma, watak Tompel sedikit pun tidak sama seperti yang dipaparkan.
"Dia bukanlah seorang yang nakal tetapi diakui ramai wanita sukakan dia walaupun dia tidaklah sekacak mana pun," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Ruminah ditemui pada majlis sidang media khas yang dianjurkan keluarga dan waris AR Tompel mengenai rasa tidak puas hati dengan paparan watak seniman itu menerusi telefilem Saloma di Perbadanan dan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas).
Kira-kira 30 orang waris seniman itu hadir pada sidang media tersebut termasuklah AR Badul, Amran Tompel, Adlin Aman Ramlie serta bekas isteri Tompel, Zaiton Ismail selain wakil peguam mereka, Azam & Co.
AR Tompel (tengah) bersama P. Ramlee (kanan) dan Ibrahim Din dalam filem Do Re Mi.
Keluarga berkenaan telah menghantar notis bersama tiga tuntutan kepada Astro iaitu meminta pihak penyiar itu menghentikan serta merta siaran telefilem itu, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga AR Tompel dan mengadakan pertemuan bagi proses rundingan bersama pihak penerbitnya, Kus Semangat Aktor.
Dalam pada itu, Ruminah berkata, terdapat beberapa babak menunjukkan Tompel begitu agresif dalam percubaan cuba memikat Saloma dan seorang wanita lain namun hakikatnya, seniman itu bukanlah seorang yang berani bertindak segera dalam memikat wanita.
"Macam saya dahulu, dia tak pernah tunjuk yang dia ada hati pada saya walaupun ketika itu dia sukakan saya.
"Beberapa tahun kami bekerjasama dan menyimpan perasaan sehinggalah bapa saya sedar apabila melihat kami seperti suka antara satu sama lain. Bayangkan, saya panggil dia pakcik.
"Kemudian, sepanjang perkahwinan kami, dia hanya memarahi saya dua kali saja. Pelik pula bila watak Tompel dalam telefilem itu menunjukkan dia seorang yang sombong, cemburu dan pemarah," ujarnya.
Telefilem Saloma dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.
Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).
-mstar-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan