"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biarlah buaya... asal balik rumah

PADA suatu malam, seorang suami tunjuk kepada isterinya berita dalam surat khabar mengenai pertunjukan gadis dikenali sebagai Ratu Ular yang dikurung bersama lebih 70 ular berbisa selama 12 jam.

Lelaki itu berkata kepada isterinya, “awak tengok ni, beraninya perempuan ni?”

Kata-kata itu dijawab oleh si isteri: “Setakat macam ni abang dah kata berani? Yang saya ni, dah lebih 20 tahun hidup siang malam dengan buaya (darat), tidur malam berpeluk dengan buaya... tak cukup berani lagi ke?”

Ya, ini sekadar anekdot yang saya guna untuk memulakan celoteh minggu ini berkaitan satu perkara yang sudah lama bersarang dalam fikiran saya – betapa ramai isteri di luar sana yang hidup makan hati gara-gara bersuami ‘buaya’.

Kaum sejenis saya janganlah sensitif sangat. Ini bukan penghinaan atau mahu menyamakan kita dengan binatang. Saya percaya, ramai yang sedia maklum apa makna buaya atau nama panjangnya, buaya darat dalam konteks ini.

Sejak aktif menulis hal ehwal rumah tangga bermula 2006 (melalui majalah Mingguan Wanita selain menerbitkan dua buku himpunan pojok saya, Aduhai Suami dan Aduhai Isteri terbitan Grup Buku Karangkraf), banyak sungguh aduan saya terima berkaitan hal-hal yang semacam ini.

Saban minggu, ada sahaja pengakuan menerusi e-mel atau Facebook untuk meminta pandangan seolah-olah saya kaunselor rumah tangga.

Sampai satu peringkat, ada isteri yang mengaku dia sudah tidak kisah suaminya hendak jadi buaya tembaga atau buaya darat, “akak sudah betul-betul tak larat. Makin ditegur, dinasihat, suami makin menjadi-jadi, makin melarat!”

Begitu pun pasrahnya mereka, apakah kita boleh benar-benar percaya bahawa isteri yang hidup dalam keadaan seperti ini sudah hilang rasa cemburu, hilang rasa sensitif hingga mereka betul-betul tidak kisah suami sendiri ada simpan wanita lain di luar rumah?

Kata orang, kalau sudah tidak ada rasa cemburu, itu petunjuk bahawa kasih sayang pun sudah tidak ada lagi walau sekelumit. Saya bukanlah orangnya untuk menghakimi perkara itu kerana hati manusia sememangnya unik.

Walau apa pun, saya tetap percaya bahawa ramai isteri, walaupun sedar dan tahu akan hal tidak setianya suami mereka di luar rumah, banyak sebab untuk mereka diamkan, biarkan dan terima sahaja keadaan itu demi mempertahankan rumah tangga daripada musnah punah ranah

“Hidup isteri seperti mentimun, bergolek, kita kena. Digolek, pun kita juga yang kena.” Demikian mesej seorang wanita yang mahu saya kenali dia dengan panggilan Kak Noor kepada saya baru-baru ini.

Mudah untuk saya fahami maksud kata-kata Kak Noor bahawasanya, isteri jika ambil tindakan untuk ‘bising-bising’ kes kecurangan suami, ada kemungkinan ia akan membawa sampai kepada perceraian.

Ini yang mereka paling takuti. sebenarnya Apabila diceraikan, kehidupan akan jauh berubah, mungkin sampai 720 darjah. Bagi yang tidak bekerja, mereka akan hilang pergantungan, hilang tempat tinggal dan hilang macam-macam.

Itu belum lagi masuk hal anak-anak.

Kerana itu, ramai yang ambil keputusan untuk diamkan, biarkan sahaja. Walau macam mana pun perangai suami di luar rumah tidak mengapa asal dia masih mahu balik rumah, biar pun yang balik tengah-tengah malam itu ‘bapak buaya’!

Ada juga isteri yang mendiamkan sahaja ulah suami kerana anggap mendedahkan keburukan suami hanya mengaibkan diri mereka sendiri.

Mereka paling takut dituduh tidak pandai jaga suami, tidak pandai layan suami atau apa-apa sahaja tanggapan yang boleh memalukan diri sendiri jika hal suami mereka ada wanita lain diketahui orang, walaupun keluarga.

Kerana itu, bagi mereka yang berfikiran sedemikian, adalah lebih baik jika hal itu didiamkan sahaja, kekal jadi rahsia rumah tangga meskipun dalam hati, hanya ALLAH yang tahu betapa derita dan sengsaranya isteri yang dihadap dilema seperti ini.

Bayangkan seorang isteri yang bertahun-tahun hidup dalam keadaan tertekan oleh sebab perbuatan suaminya yang curang?

Itu belum lagi yang siang malam makan sumpah seranah dan sepak terajang. Sungguh kasihan!
-sinarharian-

Tiada ulasan: