"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Henti Panggil Ahli Amanah 'Kafir'" - Kata Mat Sabu Kepada PAS

JOHOR BAHRU: Mohamad Sabu menggesa pemimpin-pemimpin PAS supaya berhenti memanggil ahli Amanah sebagai kafir kerana ia tidak memberikan sebarang kebaikan.

Pengerusi Parti Amanah Negara itu memberi beberapa contoh kejadian semasa di pelbagai negara Islam seperti Afghanistan, Syria, Somalia dan Iraq yang dilihat menjadi contoh terbaik perbalahan yang membawa kepada kemusnahan.

"Mereka adalah umat Islam yang beriman dan mempunyai kepercayaan yang sama tetapi kerana perbezaan fahaman politik, mereka berakhir dengan berlawan satu sama lain, dan saya mendoakan ini tidak akan berlaku di Malaysia," katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian semasa sesi dialog minum petang yang diadakan di restoran mamak di Taman Mutiara Rini di sini, Jumaat.

Beliau juga percaya bahawa PAS akan menjadi lebih kuat selepas disingkirkan daripada Pakatan Harapan tetapi tidak akan menang pilihan raya umum.

Beliau berkata pada pilihan raya umum lalu, sebahagian besar calon PAS di kawasan luar bandar tidak mampu mendapatkan majoriti undi terutamanya daripada orang Melayu.

"Itu ketika mereka masih di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kini, mereka tidak lagi dengan pakatan pembangkang yang baru.

"Mereka akan menjadi lebih kuat dari segi kekuatan parti, tetapi saya ragu-ragu mereka boleh menang pilihan raya umum kerana sekarang, tidak ada parti politik yang boleh berdiri sendiri dalam landskap politik semasa di negara ini," katanya.

Katanya, sejak Amanah dilancarkan pada 16 September, parti itu perlahan-lahan mendapat momentum dari segi keahlian di beberapa negeri.

Beliau berkata parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 ahli menjelang Disember tahun ini, dengan mendapat sokongan paling ramai di Kelantan.

"Di Kelantan, kita sudah mempunyai kira-kira 11,000 orang ahli, terdiri daripada bekas kakitangan awam, yang percaya bahawa Amanah mampu menyediakan tadbir urus yang baik.

"Amanah juga menyasarkan 10,000 ahli di Johor dan 20,000 di Selangor tetapi kami juga bertapak di negeri-negeri pantai barat," katanya.

Beliau menambah, Johor akan menjadi titik tumpuan utama Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.
-mstar-

1 ulasan:

Abdul Said berkata...

Eloklah kita sama-sama berdo'a agar penubuhan Parti Amanah Negara tidak membuat sekumpulan orang yang digelar ustaz serta ulamak menjadi gila atau pun mereng . Semoga kesihatan mental mereka terpelihara untuk kebaikan diri, keluarga dan umat. Amin.