"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 beradik dakwa polis tampar dan cucuh api

Ditampar, ditendang dan dicucuh dengan pemetik api - itulah dakwaan penderaan yang menimpa dua beradik dilakukan oleh pihak polis yang kononnya mahu mereka menandatangani kenyataan saksi.

Peguam mereka, T Shasi Devan mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur, hari ini.

Adik-beradik berkenaan, Letchumanan Naidu, 19 dan Vikram Naidu, 17 ditahan berhubung pergaduhan pada 14 April yang lalu dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Ipoh.

Buat masa sekarang, kedua-dua mereka sedang ditahan di penjara Kluang, Johor di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Ujar Sashi, apabila beliau melawat adik-beradik berkenaan pada 10 Ogos yang lalu, mereka berkongsi pengalaman pahit semasa berada dalam tahanan polis.

"Mereka maklumkan kepada saya bahawa pada 14 dan 15 April yang lalu, (anggota polis) menggunakan pita saluran untuk menutup mata mereka. Mereka kemudian dibawa keluar dari sel induk dan dibakar dengan pemetik api.

"Kedua-dua mereka tidak mengaku, jadi ditampar dan ditendang. Rambut pula ditarik.

"Saya bertanya kepada mereka jika ada mendapat apa-apa rawatan perubatan, kerana takut, mereka tidak meminta rawatan oleh doktor," tambahnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dakwaan itu akan disiasat.

"Kami akan memeriksa perkara itu dan tindakan akan diambil jika ada sebarang salah laku (di pihak anggota polis), " kata Khalid kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: