"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM mula bertindak Datuk, Datuk Seri ditahan, harta RM13j dibeku

Tiga penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk - hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, suspek tersebut berkhidmat di salah satu jabatan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang tadi.

“SPRM telah menjalankan operasi serentak di tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

“Seramai tiga penjawat awam, dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk ditahan SPRM hari ini atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram,” kata Azam dalam kenyataannya hari ini.

Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.

Ia melibatkan wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.

Selain itu, kata Azam, SPRM turut menyita beberapa aset lain termasuk kondominium mewah, banglo serta kenderaan mahal seperti berjenama Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah dan penggubahan wang haram.

"SPRM juga turut menjumpai wang tunai bernilai RM400,000 termasuk dalam bentuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah.

"Ketiga-tiga mereka kini ditahan dan akan direman di mahkamah majistret esok," katanya.

Kes itu disiasat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram2001.

Bagi kesalahan di bawah seksyen Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Bagi Akta Penggubahan Wang Haram pula, pesalah boleh penjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana yang lebih tinggi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: