"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Erdogan beri kata dua kepada Amerika


ANKARA, Khamis: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi kata dua kepada Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Fethullah Gulen yang menjadi dalang dalam cubaan rampasan kuasa bulan lalu.

Erdogan berkata, Washington perlu membuat pilihan samada memilih Turki atau Gulen.

“Lambat laun, Amerika Syarikat akan membuat pilihan. Samada Turki, sebuah negara demokrasi atau Gulen. Mereka perlu membuat pilihan,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Turki telah menghantar lapan puluh lima kotak fail ke Washington untuk membuktikan peranan Gulen dalam cubaan rampasan kuasa itu.

Setakat ini, Washington enggan mengembalikan Gulen ke Turki dengan alasan bahawa ia memerlukan bukti penglibatan Gulen dalam pemberontakan tentera berkenaan.

Gulen telah berulang kali menafikan apa-apa penglibatannya dalam cubaan rampasan kuasa dan memberi amaran bahawa tindakan menyalahkannya itu boleh menjadi satu muslihat oleh Parti Keadilan dan Pembangunan untuk mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa di Turki.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 246 orang terbunuh dan lebih 2,100 lagi cedera apabila tentera menggunakan helikopter dirampas dan kereta kebal dalam pertempuran dengan tentera kerajaan dan rakyat di sekitar Ankara dan bandar Istanbul pada 15 Julai lalu.

Turki telah melancarkan operasi pembersihan besar-besaran terhadap pihak yang terbabit dalam komplot rampasan kuasa itu.

Lebih 60,000 orang telah dipecat daripada pekerjaan mereka dan disiasat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan komplot serta pergerakan Gulen itu. – Agensi
-ismaweb

Tiada ulasan: