"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syarikat akhbar Utusan tenat tak mampu bayar gaji pekerja

Zam dedahkan Utusan sedang 'sakit'

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin yang popular dengan panggilan Zam mendedahkan bahawa syarikat akhbar berbahasa Melayu itu sedang 'sakit'.

Dalam blognya, Zainuddin memetik kenyataan Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu(KVUM), Datuk Raja Ahmad Niza yang menyeru supaya langkah segera diambil bagi menyelamatkan Utusan Melayu (Utusan Malaysia) yang sedang berada dalam keadaan 'sakit'.

"Ini adalah berikutan kegagalan syarikat itu membayar gaji mengikut jadualnya kepada kakitangan termasuk para wartawan sebaliknya akan di bayar lewat iaitu pada 5 Ogos ini.

"Mereka telah diberitahu menerusi suatu surat pekeliling Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Mohd Noordin Abbas bertarikh 21 Julai 2016," petik Zainuddin sambil memuat naik satu memorandum pekeliling berkenaan apa yang dikatakan Raja Ahmad.

Mengulas lanjut, Zam memberitahu, Raja Niza dalam tulisannya di Buletin Suara Keramat iaitu suara kumpulan whatsapp bekas-bekas wartawan Utusan Melayu telah menyatakan anggota KVUM seramai 271 orang amat bersimpati dengan kesulitan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja Utusan akibat kelewatan pembayaran gaji itu.

"Kalau peha kanan dicubit, peha kiri terasa sakitnya. Peha kiri itu adalah KVUM." kata Raja Ahmad, dipetik Zam.

Kesakitan ini, kata Raja Niza, memerlukan 'doktor pakar' untuk mengubati atau membedahnya kerana dikhuatiri akan bertambah teruk.

"Kami juga bersimpati dengan pengurusan Utusan sekarang kerana diserkup oleh suasana yang terpaksa dihadapinya.

"Penyelesaian jangka pendek dan panjang perlu dicari dengan segera kerana masa tidak pernah menunggu kita," katanya lagi.

Dalam pada itu, Raja Niza memberitahu, KVUM akan menghantar memorandum kepada Utusan yang mengandungi cadangan langkah pemulihan syarikat itu yang diharapkan tidak akan disalah ertikan.

Malaysiakini sedang cuba untuk pihak pengurusan syarikat tersebut untuk mendapatkan pengesahan mengenai pendedahan Zam ini.

Malaysiakini juga akan menghubungi Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Taufek Razak untuk menyatakan pendirian kesatuan mengenai hal ini.


NUJ Utusan Melayu adalah badan yang diiktiraf oleh syarikat untuk menjadi saluran menyuarakan pandangan kakitangan bukan eksekutif syarikat berkenaan selain memeterai perjanjian bersama (CA).

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Beberapa tahun yang lalu, Utusan pernah membuang kerja dua pemimpin NUJ, Hata Wahari dan Amran Ahmad yang lantang mengkritik isu kebebasan media dan pengurusan syarikat tersebut.
-malaysiakini

Tiada ulasan: