"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saintis Rekod Kilat Paling Lama, Terpanjang Di Dunia


GENEVA: Kajian saintis mengesahkan bahawa pancaran kilat terpanjang di dunia yang pernah direkodkan mencapai jarak kira-kira 321 kilometer manakala pancaran kilat paling lama bertahan melebihi masa tujuh saat.

Rekod pancaran kilat paling panjang dicatatkan pada 20 Jun 2007 dengan melibatkan pancaran kilat di hampir keseluruhan kawasan Oklahoma di Amerika Syarikat yang memiliki kawasan selebar 370 kilometer.

Manakala rekod pancaran kilat paling lama bertahan berlaku di wilayah Perancis, Provence-Alpes-Côte d’Azur pada 30 Ogos 2012 dengan masa 7.74 saat.

Kedua-dua rekod berkenaan disahkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) yang bertanggungjawab merekodkan kejadian sedemikian.

Pakar di WMO, Randall Cerveny berkata, kajian terhadap kilat dilakukan menggunakan alat pengesan khas yang dinaiktaraf bagi memantau kejadian kilat yang luar biasa.

Jelasnya lagi, disebabkan teknologi semakin maju, pakar meteorologi kini boleh memantau dan mengesan pancaran kilat dengan lebih terperinci berbanding sebelum ini.

"Hasil kajian menggunakan teknologi yang lebih canggih menunjukkan kilat terpancar pada jarak yang jauh," katanya seperti dilaporkan portal The Times.

Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara, sebanyak 25 juta kali pancaran kilat berlaku di Amerika Syarikat pada setiap tahun dengan purata kematian 49 orang selain beratus-ratus mangsa lagi cedera.

Sepanjang tahun ini, seramai 35 orang disahkan maut akibat disambar kilat manakala angka kematian paling ramai direkodkan pada 2007, iaitu sebanyak 45 orang.

Tiada ulasan: