"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SMK Balung ditutup pantau Nuri jatuh di atas bumbung sekolah

Bernama 
TAWAU: Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di sini ditutup hari ini bagi membolehkan pihak polis melakukan pemantauan berhubung kejadian sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terjatuh ke atas bumbung Pusat Kemahiraan Hidup sekolah itu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus memberitahu pemberita di tempat kejadian, pihak bomba dan penyelamat serta agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Tawau membuka pusat kawalan operasi bagi menjalankan tugas pemantauan.

Beliau berkata turut memantau ialah Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kita mendapat laporan terdapat beberapa pelajar trauma susulan kejadian itu kerana ia berlaku ketika sesi pembelajaran,” katanya.

Selain bumbung pusat itu, difahamkan sebuah dewan yang sedang dalam pembinaan turut rosak.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata beliau sedang mengajar apabila terdengar bunyi dentuman kuat.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat yang saya agak datang tidak jauh dari pejabat guru,” katanya.

Kejadian melibatkan sebuah bangunan 3 tingkat yang menempatkan kelas Tingkatan 4 dan 5.


---------------

14 anggota TUDM cedera dikejarkan ke hospital

TAWAU - Seramai 14 anggota tentera cedera dan dikejarkan ke Hospital Tawau selepas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di sini pagi tadi.

Penolong Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Sahidi Mahali berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, lima pelajar turut tercedera.

Pekerja kantin sekolah dipercayai turut tercedera.

Difahamkan kejadian berlaku ketika helikopter berkenaan sedang cuba hendak mendarat di atas padang sekolah itu.

Satu bilah kipasnya dikatakan turut terpelanting kira-kira 200 meter.

TUDM dalam satu kenyataan berkata pesawat Nuri tersebut yang dinaiki 14 anggotanya berlepas dari pangkalan TUDM di sini pada pukul 7.35 pagi untuk melakukan latihan penerbangan harian.

"Semua anak kapal dan penumpangnya terselamat," katanya.

Pihak TUDM berkata mereka telah menghantar pasukan menyelamat dan akan membawa keluar pesawat daripada lokasi kejadian.

TUDM sedang membuat penilaian berhubung insiden tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

"TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian," kata kenyataan itu. – Bernama

Tiada ulasan: