"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga YB Pas bakal tinggalkan parti?

ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Spekulasi beberapa wakil rakyat Pas bakal meninggalkan parti itu semakin kencang diperkatakan kebelakangan ini apabila mereka yang juga antara tonggak utama parti kini lebih mesra Pakatan Harapan.

Kelibat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersama dua Adun Pas, Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) semakin menonjol apabila mula menghiasi pentas ceramah Pakatan Harapan.

Walaupun Mahfuz terlebih dahulu mengorak langkah dengan menerajui aktiviti Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) sejak 2016, namun beliau tetap mengisytiharkan diri sebagai ahli Pas. Manakala Amiruddin dan Mohd Nasir dilihat seakan ‘mengacah’ secara perlahan merapatkan ukhuwah bersama pimpinan Pakatan Harapan.

Telahan ini makin dikuatkan dengan ketidakhadiran mereka pada program anjuran Pas, yang turut disertai pimpinan Pusat, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pada Muktamar Tahunan Pas lalu yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, ketiga-tiganya tidak hadir.

Gelagat tiga sekawan ini sudah dihidu Pas Kedah, namun tiada tindakan dikenakan, sekadar diberikan surat mohon penjelasan.

Pemerhati politik menyifatkan Mahfuz-Amiruddin-Mohd Nasir memiliki pengaruh yang besar di kawasan masing-masing.

Mahfuz menang di kerusi Parlimen Pokok Sena sejak 1999, sebelum tewas pada calon BN (2004), namun kembali merampas kerusi itu pada PRU 2008 dengan majoriti 5,371 undi, beliau satu-satunya calon parlimen Pas yang kekalkan kemenangan pada PRU 2013 lalu.

Walaupun pertaruhan awal Amiruddin di Parlimen Langkawi (1999) tidak menjadi, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai calon PRK Dun Anak Bukit, menggantikan tempat dikosongkan Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Nor, yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002.

Penyandang kerusi itu selama tiga penggal dan merupakan antara kubu kuat Pas di Kedah sejak zaman Allahyarham Fadzil.

Mohd Nasir pula pemimpin muda yang berjaya merobek kubu kuat BN yang sebelum ini diwakili bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Dun Kubang Rotan, namun pengaruh BN di kawasan itu beransur hilang dan Mohd Nasir memenangi kerusi itu pada PRU12 dan PRU13.

Adakah Pas bimbang sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat itu menyatakan pendirian politiknya yang kurang senada, sekali gus membawa bersama pengundi tetap untuk memangkah mereka walaupun tidak lagi mewakili Pas.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi ketika diminta mengulas perkembangan ini menyifatkan Pas tidak ketandusan calon untuk bertanding PRU14, sekiranya terdapat wakil rakyat Pas ‘lompat parti’.

“Pas tidak pernah sepi dibarisi calon-calon berpotensi dan ada wibawa. Kemenangan Adun Pas adalah hasil muafakat ahlinya, bukan individu. Sama ada kerusi disandang Pas tergugat atau tidak, tunggu sahaja tiupan wisel PRU14 nanti,” katanya.

Sementara penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Pas bakal berkubur jika pemimpin utamanya berhijrah ke parti lain menjelang PRU14.

“Pas akan berkubur di Kedah kerana parti itu sudah tiada pemimpin yang hebat sekiranya pemimpin utamanya sertai Amanah atau Bersatu. Saya percaya Pas tidak sempat persiapkan pemimpin muda untuk ambil alih,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi tempoh matang penggal ini akan berakhir (Jun 2018), calon gantian Pas tidak mungkin dapat dibentuk mengikut acuan dikehendaki untuk bersaing dengan penyandangnya jika mereka mewakili Pakatan Harapan.

“Jika ditakdirkan berlaku tiga penjuru, BN ada kelebihan untuk menang. Saya percaya ramai ahli akan tinggalkan Pas sebaik sahaja PRU disahkan tarikhnya,” katanya.

Tambahan pula situasi semasa memperlihatkan pendekatan Abdul Hadi yang mesra Umno.

“Masih sukar Pas bekerjasama dengan Pakatan Harapan selagi pemimpin utama menolak kerjasama itu,” katanya.

Tiada ulasan: