"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis megnhentam pihak-pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik (video)

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegur sikap pemimpin politik yang menjadikan Islam sebagai “alat parti politik”.

Tanpa menamakan pihak itu secara jelas, Asri membangkitkan beberapa keadaan akibat tindakan itu, apabila ada pihak tidak memakan sembelihan pihak berlainan parti, keluarga bercerai-berai dan sikap mengafirkan perlembagaan lawan.

“Politik ada dalam Islam tetapi menggunakan Islam untuk parti politik tidak dibenarkan.

“Kenapa? Sebab semalam kita kafirkan (pihak lain), hari ini jadi setinggi-tinggi darjat.

“(Tuduh) perlembagaan tidak Islam, esok lain pula. Padahal sama saja.

“Semua parti itu tidak berubah pun perangai,” katanya sambil berkata perkara sebegitu berlaku pada banyak parti di seluruh dunia.

'Menjadikan parti sebagai agama'

Dalam video yang dikongsi di Facebook beliau, Asri berkata, sikap itu, seperti “menjadikan parti sebagai agama”.

Asri juga menolak sikap melabelkan penentang kepimpinan sesuatu parti itu sebagai terkeluar daripada kepimpinan Islam.

“Punyalah dahsyat, punyalah guna nama tuhan,” katanya.

Asri mengingatkan bahawa pendekatan itu tidak selari dengan amalan ulama besar Islam.

Katanya, Iman Shafie contohnya tidak pernah menggelar pengamal mazhab lain sebagai munafik atau mengaku hanya pengikutnya sahaja akan masuk syurga.

“Padahal dia imam, fakih (pakar hukum). Begitu juga imam lain. Imam Malik, khalifah mahu (kitabnya) Muwatta diwajibkan, dia tidak mahu,” katanya.

Beliau menegaskan agama tidak memihak pada sesuatu golongan sama ada ustaz, mufti, parti ataupun mazhab.

“Orang bawah pun (kalau) bagi hujah betul, sekali pun (berbeza dengan) mufti, salah tetap salah,” katanya.

Asri mungkin merujuk kepada perpecahan masyarakat Islam susulan Amanat Hadi pada tahun 1981.

Ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu itu antaranya berkata Umno dan BN mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.


Hadi menegaskan perjuangan mereka adalah jihad dan “kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.”

Beliau juga berkata orang Islam boleh menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Sementara itu, terdapat juga penyokong kerajaan yang berhujah bahawa melawan BN yang dikaitkan dengan kepimpinan Islam boleh disifatkan sebagai bughah atau derhaka kepada pemimpin.
-malaysiakini

Tiada ulasan: