"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Harapan perlu ganti logo, tiada masalah kandungan perlembagaan

DALIA ISMAIL
Barisan kepimpinan Pakatan Harapan hari ini akan mengumumkan logo terbaru gabungan itu ekoran logo 'Harapan' yang dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini ditolak.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, RoS telah menegur berkenaan logo dan simbol gabungan parti itu yang tidak sesuai kerana tidak memberi nama penuh gabungan tersebut.

"Sedikit teguran berkenaan logo dan simbol yang dilihat tidak sesuai kerana tidak memberi nama penuh gabungan itu.

"Dia (RoS) nak kita sebut 'Pakatan Harapan ' ini ada 'Harapan' saja. Kita ambil ingatan dengan teguran tersebut dan akan buat logo dan simbol baru untuk dikemukakan semula kepada mereka," ujarnya di lobi Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Purajaya hari ini.

Dr Mahathir juga memaklumkan gabungan parti itu akan membuat logo dan simbol baru Pakatan Harapan dalam tempoh masa dua hari.

Katanya lagi, berkaitan Perlembagaan Pakatan Harapan, pihak RoS tidak menunjukkan sebarang masalah mengenainya.

"Setakat ini tidak ada masalah dari segi perlembagaan dan mereka akan kaji dan akan memberitahu kita keputusannya nanti.

"Mereka beri sedikit panduan yang mana kita sudah ambil kira. Kita dapati RoS memang 'friendly' dan kita juga tunjukkan sikap 'friendly' kita.

"Kita mahu 'comply' bukan dari segi undang-undang sahaja ada aspek yang mendorong RoS buat keputusan.

"Kita berharap apabila kita submit logo baru jika tidak ada lain-lain perkara dalam perlembagaan yang perlu ditukar kita harap dapat kelulusan," ujarnya.

Dr Mahathir berkata, beliau mengingatkan RoS untuk membuat keputusan dalam kadar segera bagi memudahkan persiapan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

"Kita juga beritahu pada RoS betapa pentingnya kelulusan awal diberikan. Jika diadakan pilihan raya kita perlu buat persiapan, sebaliknya jika tidak diluluskan sukar bagi kita mengeluarkan sepanduk, poster, baju, bendera dan sebagainya. Nampaknya RoS ambil perhatian pada perkara ini," ujarnya.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Agung Majlis Presiden Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli-ahli empat parti yang menunggu kehadiran pemimpin mereka dari awal pagi tadi.

Tiada ulasan: