"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu bakal bertanding 4 kerusi Parlimen di Johor

AZLINA OTHMAN 
Bersatu bakal bertanding 4 kerusi Parlimen di Johor
Depan duduk dari kiri; Jimmy, Dzulkefly, Mujahid dan Sapian semasa program Sembang Politik Tujuh Janji Kerajaan Pakatan Harapan.
JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan bakal bertanding empat kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Osman Sapian berkata, empat kerusi Parlimen berkenaan adalah Pagoh, Sri Gading, Mersing dan Pengerang.

Menurutnya, buat masa ini, keempat-empat kerusi itu belum lagi dituntut oleh rakan kerjasama parti itu dalam Pakatan Harapan.

"Empat kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PPBM adalah Pagoh, Sri Gading, Mersing dan Pengerang kerana buat masa ini tidak ada pertindihan dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun, kami belum membuat kata putus lagi kerana soal pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan. Apa yang boleh kami kata keempat-empat kerusi itu tidak dituntut rakan dalam Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Sembang Politik Tujuh Janji Kerajaan Pakatan Harapan di sebuah restoran di Taman Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Hadir sama; Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.

Pada program itu turut diadakan penyerahan watikah pelantikan 27 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Dun Nusajaya.

Malah, turut berlangsung penubuhan empat cawangan baharu dalam Parlimen Gelang Patah iaitu Kebangsaan; Pulaijaya; Taman Seri Pulai dan Pulai Utama menjadi 10 cawangan berada dalam parlimen itu.

Osman berkata, walaupun tidak sampai setahun Bersatu ditubuhkan parti itu mempunyai 26 bahagian di negeri dan keahlian mereka telah mencecah 23,000 orang di seluruh Johor dengan 350 PDM.

"Kita mendapat respons yang baik dan yakin mempunyai keupayaan meletakkan calon sendiri pada PRU akan datang, namun semuanya masih lagi dalam peringkat rundingan.

"Kita sudah lancarkan gerak kerja untuk menghadapi PRU dan selepas ini kami akan melawat setiap bahagian.

"Sebahagian besar daripada kami sememangnya sudah mempunyai pengalaman politik masing-masing, cuma kami akan cuba tokok dan tambah dalam soal memperkasa Pakatan Harapan," katanya.

Tiada ulasan: