"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Larangan ‘bin Abdullah’: Mufti Perlis sambut baik keputusan mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA:
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam sebagai 1 langkah “tidak menghukum anak yang tidak bersalah.”

Sehubungan itu beliau yang sering membangkitkan isu tersebut berkata, keputusan mahkamah juga akan menutup keaiban dan memberi peluang insan bertaubat.

“Semoga keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘Islam agama hukuman’,” kata beliau dalam tulisan yang diposkan menerusi Facebook.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan JPN bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.
Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa kanak-kanak itu, mahkamah turut mempertikaikan amalan menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 2 hari lalu.

Hakim lain ialah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof.

Abdul Rahman berkata ketua pengarah JPN bertindak tidak rasional apabila mendaftarkan kanak-kanak itu dengan nama bapa “Abdullah” dalam sijil kelahiran, menentang hasrat ibunya.

Beliau juga berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Bagaimanapun keputusan mahkamah itu menerima respons yang berbeza daripada pemimpin-pemimpin Islam dan pertubuhan bukan kerajaan.

Dua peguam syarie menyatakan pandangan berbeza mereka berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Peguam Syarie, Nizam Bashir yang terlibat dalam kes melibatkan pasangan ibu bapa dan kanak-kanak yang kini berusia 7 tahun itu, berkata keputusan itu bermakna JPN selepas ini tidak boleh membinkan seseorang anak luar nikah dengan nama “Abdullah” seperti mana amalan sebelum ini.

Katanya, ia berdasarkan peruntukan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Bagaimanapun, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader tidak setuju dengan keputusan itu, dan mendakwa ia memberi gambaran negatif dan tidak mengikut ajaran Islam.

Beliau turut mendakwa undang-undang Islam jelas melarang anak luar nikah berbinkan nama ayah kandungnya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad bersependapat keputusan itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohd Tamyes berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-Quran yang menjelaskan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan.

Tiada ulasan: