Ketika etnik Tionghua di seluruh dunia merayakan tahun ayam jantan bersempena dengan Tahun Baharu Cina, lain pula hal di Honduras, sebuah negara kecil di rantau Amerika Tengah.
Unggas tersebut didakwa sebagai punca sebenar pencetus kekacauan yang memicu pertengkaran antara masyarakat di sebuah penempatan sehingga terpaksa dihukum penjara, menurut laporan media tempatan di sini hari ini.
Insiden tidak diduga itu mula tercetus apabila seekor ayam jantan di bandar kecil Trujillo, wilayah Colon, di utara Honduras mengakibatkan berlaku pertengkaran dahsyat antara dua keluarga hidup berjiran dan aman selama ini.
Seorang lelaki yang tidak dinyatakan identitinya menyatakan bahawa, ayam jantan tersebut pada mulanya masuk ke ladangnya, lalu naik ke atas sebatang pohon, dan berkokok dengan amat kuat sehingga mengejutkan penduduk.
“Suara tingginya itu membuatkan kehidupan saya terganggu,” kata pemilik ladang berkenaan. Ketika dia kemudian mengusir ayam jantan tersebut, si pemilik unggas itu pula enggan menerima dan mengakui ia sebagai miliknya.
Dia bahkan dengan angkuh mengugut pula si jirannya tersebut dengan ancaman berbaur kekerasan apabila dilaporkan berkata: “Sekiranya kamu berani menendang ayam saya itu, saya akan bunuh kamu pula.”
Pertengkaran kedua-dua lelaki berkenaan akhirnya bertambah panas dan sebelum terjadi aksi pembunuhan yang tidak sepatutnya, beberapa jiran segera menghubungi pihak polis untuk meleraikan pergaduhan tersebut.
Anggota polis tempatan kemudian bergegas datang ke lokasi tersebut dan mereka mujur berjaya meredakan ketegangan dua lelaki itu sebelum sempat kedua-duanya saling mencederakan lawan masing-masing.
Setelah melakukan penyiasatan lebih terperinci, pihak polis memutuskan untuk menahan si ayam jantan kerana dianggap sebagai punca kekacauan sehingga berpotensi menyebabkan berlaku kecederan atau pembunuhan.
Sejumlah foto memperlihatkan anggota polis berjaya menangkap ayam jantan itu dan menyumbatkannya ke ruang tahanan namun tidak dinyatakan bilakah hukuman penjara itu berakhir.
-kualalumpurpost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan