"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peneroka Felda sokong HARAPAN, UMNO boleh berhenti berangan (Gambar)

RoketKini

PETALING JAYA, 20 JULAI: Jika dahulu program pembangkang seolah-olah dipandang sepi peneroka Felda, kini suasana itu telah jauh berubah apabila semakin ramai masyarakat peneroka berani tampil memeriahkan majlis yang dianjurkan.

Realiti ini jelas menggambarkan kekuatan UMNO yang sering dilihat dominan di kawasan-kawasan Felda selama ini semakin goyah meskipun dimenangi parti itu sebelum ini.

“Saya nak bagi berita yang tak berapa baik (kepada) Barisan Nasional (BN) jangan mimpi macam itu lagilah,” kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi PPBM di ibu pejabat parti itu semalam.

“Kita dapat maklumbalas yang cukup jelas.

“Sambutan yang diberikan peneroka di tanah rancangan kepada Pakatan Harapan, termasuk PPBM agak hebat,” katanya.

Ia sekaligus menempelak kenyataan menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak semalam yang secara sinis menganggap hasrat HARAPAN untuk memenangi kerusi di kawasan Felda sekadar angan-angan.

Perkembangan mutakhir sokongan peneroka Felda terhadap Harapan dapat dilihat ketara sejak awal tahun lalu.

Ia disemarakkan lagi dengan siri Jelajah Semarak Kasih Felda yang dianjurkan PPBM bersama NGO Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan kepimpinan HARAPAN.

Dalam program Februari lalu, ribuan peneroka Felda Jengka 8, Pahang tanpa segan silu dan gentar membanjiri kawasan ceramah.

Kebangkitan warga peneroka negara ini terus dapat dilihat dalam siri-siri jelajah kawasan Felda seluruh termasuk Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ia tercetus ekoran kemelut pengurusan Felda Global Ventures (FGV) dan skandal 1MDB melibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam yang membimbangkan.

Pengerusi Biro Felda DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri dalam laporan Roketkini sebelum ini berkata, sokongan yang ditonjolkan warga Felda merupakan petanda bahawa masyarakat peneroka semakin berani menyatakan pendirian mereka.

Tambahan lagi ketika itu wujudnya pertelingkahan antara Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang secara langsung memberi isyarat sesuatu yang buruk berlaku dalam pengurusan FGV.

“Selama ini peneroka dan warga Felda diugut dan diancam dengan pelbagai peraturan. Buang dari rancangan lah, susah anak nak dapat bantuan lah. Orang Melayu ugut orang Melayu.

“Yang takut berlakunya perubahan kerajaan ialah orang yang ada kepentingan.

“Yang takut kerajaan baru ialah golongan berkepentingan yang menjadikan Felda sebagai sumber mencuri wang. Mereka yang korup dan menggunakan kedudukan dan jawatan mengaut duit Felda, merekalah yang takut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Raub. – Roketkini.com

Kredit foto: FB @pribumibersatuofficial

Tiada ulasan: