"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar wajib jawab tuduhan 'maut' Rafizi terhadap Azmin

Timmy Say
Semalam calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli melancarkan satu serangan maut ke atas penyandang jawatan itu Datuk Seri Azmin Ali sambil mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini cuba melakonkan sifat neutral dalam perebutan jawatan PKR kali ini.

“Saya boleh sebut di sini dia pergi ke Turki untuk berjumpa dengan Anwar sendiri. Anwar baru habis pembedahan, dia boleh pergi berjumpa dan berkata, kamu (Anwar) tak payah jadi presiden parti biar saya jadi presiden parti.

“Sekarang biar saya yang tanya Azmin, kamu pergi jumpa Anwar sendiri minta jadi presiden, jadi salahkah kawan-kawan lain tanya kenapa kamu tidak boleh sokong Anwar dari awal lagi sebagai presiden,” begitulah pendedahan Rafizi dalam serangan terbarunya terhadap Azmin.

Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham terus tampil menafikan dakwaan itu sambil berkata Anwar tidak mungkin akan membenarkan Azmin berjumpanya ketika beliau menerima rawatan di Turki sekiranya benar itu permintaan Azmin.

Jika dilihat daripada kronologi peristiwa yang berlaku, Anwar mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan presiden PKR pada 14 Julai yang lalu di Twitter.

“Justeru setelah berbincang dengan Azizah, timbalan presiden dan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan KEADILAN, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN,” tulis beliau dari Turki.

Pada keesokan harinya 15hb Julai, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan bahawa Azmin telah pergi ke Turki kononnya untuk memuktamadkan nama calon Pakatan Harapan bagi PRK DUN Sungai Kandis. Ini selari dengan tulisan Anwar di atas.

Pada hari yang sama, Azmin juga memuatkan status Twitter berbunyi, “Tiba dari Istanbul bersama YAB @drwanazizah dan @n_izzah sebentar tadi. Dua hari bersama @anwaribrahim dan syukur beliau bertambah sihat dan bincang panjang tentang negara dan umat.”

Sekiranya tuduhan Rafizi benar, apakah perbincangan dengan Azmin itu yang menyebabkan Anwar bertekad untuk bertanding jawatan presiden PKR?

Persoalannya bagaimanakah Rafizi boleh tahu mengenai perkara yang sebegitu sulit perbualan antara 2 orang manusia, melainkan salah seorang mereka memberitahunya atau beliau mengetahui daripada pihak ketiga?

Jika Anwar tetap berdiam diri atau mengelak untuk menjawab atau melontarkan bola ini kembali kepada Rafizi, maka bolehlah kita menganggap apa yang disebut Rafizi itu benar dan merupakan pemangkin kepada keputusan Anwar untuk bertanding jawatan Presiden PKR?

Ini akan menyebabkan tercetusnya perang terbuka dalam PKR kerana Azmin akan terasa beliau dikhianati apabila perbualan sulit itu bocor ke tangan Rafizi dengan sengaja.

Sekiranya Anwar menafikan tuduhan Rafizi, maka ia akan meletakkan Rafizi dalam keadaan kekok dan bahaya dalam pertarungan jawatan timbalan presiden PKR kali ini.

Apapun kekeliruan yang ditimbulkan Rafizi ini wajib dijawab oleh Anwar dan jawapan itu akan menentukan siapakah yang bakal menjadi timbalan presiden PKR pada bulan November ini.

Tiada ulasan: