"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tunjuk dokumen duit dalam akaunnya dari 'putera Saudi'

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan beberapa dokumen yang didakwa akan membersihkan namanya di tengah-tengah pertuduhan terhadap beliau.

Najib memuat naik salinan sepucuk surat pada hantaran Facebooknya yang dikatakan daripada putera Arab Saudi, Putera Saud Abdulaziz Al-Saud dan dokumen mesej "Swift" antara bank.

Beliau berkata Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah telah menyediakan untuk dirinya dan Malaysia berbagai bantuan termasuklah derma kewangan tetapi meminta hal tersebut dirahsiakan.

"Memandangkan saya bukan lagi perdana menteri dan Raja Abdullah telah mangkat, saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah.

"Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperolehi dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya.

Derma Arab Saudi

"Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama," tulis beliau.

Najib berkata pada masa akan datang beliau bakal menjawab lebih banyak isu-isu secara terperinci dalam wawancara media atau hantaran Facebooknya, termasuklah wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun bank yang sama pada 2013.

Ketika wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, beliau bertegas RM2.6 bilion di dalam akaunnya itu merupakan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pada hantaran di Facebooknya itu, Najib menunjukkan sepucuk surat dengan kepala surat bertulis pejabat peribadi “Prince Saud Abdulaziz Majid al-Saud’s” tetapi bertandatangan “Prince Saud Abdulaziz Al-Saud’s.”
Surat itu bertarikh 1 Februari, 2011 dan berjanji untuk memberikan AS$100 juta kepada Najib bagi digunakan mengikut kesesuaian dalam menghargai sumbangan bekas perdana menteri itu terhadap dunia Islam, seperti memperkenalkan semula nilai-nilai Islam ke seluruh dunia dan melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global.

Surat itu seakan sama dalam bentuk dan lenggok ayatnya dengan sepucuk surat yang didedahkan agensi penyiaran ABC Australia, tetapi surat yang ditunjukkan penyampai ABC itu bertarikh 1 November 2011 dan berjanji memberikan AS$375 juta.

Penyiaran ABC juga melaporkan Putera Abdulaziz Majid telah berjanji berbagai jumlah tunai pada beberapa waktu, daripada AS$100 juta pada 1 Februari 2011 kepada AS$800 juta pada 1 Mac 2013.

Dokumen lain yang dimuat naik Najib hari ini adalah empat mesej perkhidmatan kewangan Swift yang memperincikan urusan transaksi pindahan wang ke akaun peribadi Najib di AmPrivate Banking pada 2011, berjumlah hampir AS$100 juta.

Dua dokumen menamakan “Prince Faisal bin Turkey bin Bandar Alsaud” sebagai pengirim wang, berjumlah AS$20 juta. Transaksi ini dibuat pada 23 Februari 2011 dan 10 Jun 2011, masing-masing sebanyak AS$10 juta.

Bagaimanapun, tidak jelas "Putera Faisal" daripada salasilah keluarga diraja Arab Saudi yang mana.

Terdapat Putera Faisal bin Bandar yang merupakan Gabernor Riyadh sekarang dan Putera Faisal bin Turki, pengasas NGO alam sekitar pertama negara itu, the Global Strategic Studies Institute, tetapi tiada rujukan dapat ditemui berkenaan Putera Faisal bin Turkey bin Bandar Alsaud.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam pemfailan saman di mahkamah mendakwa bank akaun Najib menerima AS$10 juta pada tarikh yang sama sebagaimana transaksi Faisal pada 2011 itu.

Bagaimanapun, DOJ berkata wang itu datang daripada bank akaun atas nama “Saudi Associates 1 & 2” yang dimaklumkan sebagai warga negara Arab Saudi yang merupakan rakan niaga kepada Low Taek Jho dan sekutu Low serta proksi Eric Tan.

DOJ kata duit di dalam bank akaun di Arab Saudi itu berasal daripada 1MDB dan telah diselewengkan dalam tempoh skandal yang dijuluki "Fasa Good Star."

Sementara itu, dua lagi dokumen yang disediakan Najib menamakan Kementerian Kewangan Arab Saudi sebagai sumber danan itu, berjumlah hampir AS$80 juta.

Najib berkata hadiah derma wang ini merupakan tambahan berbagai hadiah lain yang tidak ternilai seperti kain kiswah Kaabah.
"Sebagaimana pemberian hadiah tidak ternilai, kelambu Kaabah - kain kiswah Kaabah dan tambahan kuota haji 20,000 daripada Almarhum Raja Abdullah (gambar) pada 2010 di mana baginda turut meminta agar ia tidak diwarwarkan, baginda juga bersetuju untuk membantu parti saya dengan pembiayaan.

"Ini berlaku selepas Kebangkitan Arab atau Arab Spring pada lewat 2010 di kalangan negara Islam di Timur Tengah dan Afrika termasuk negara sekutu Arab Saudi.

"Almarhum Raja Abdullah sangat bimbang ketika itu dan bertindak membiayai pemimpin dan kerajaan negara Islam dengan sejumlah wang yang banyak bagi mengekalkan kestabilan. Pada masa itu, harga minyak paling tinggi dan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang banyak hasil darinya.

"Baginda juga mempunyai kebimbangan yang sama selepas mendapat tahu kemungkinan berlaku Malaysia Spring pada ketika itu kerana Malaysia juga negara Islam biarpun bukan berada di Timur Tengah atau Afrika.

"Lantaran kebimbangan dan hubungan akrab kami, pada awal 2011, baginda berjanji untuk turut menyediakan dana kepada saya dan parti bagi kegunaan di Malaysia. Seperti kain kiswah dan kuota haji tambahan, sumbangan ini juga tidak mahu dihebahkan.

"Terdapat beberapa orang saksi pada masa itu ketika janji ini disampaikan," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: