"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadapi empat tuduhan, mengaku tak salah

Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Muhammad Shafee, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Shafee didakwa telah melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept, 2013 dan 17 Feb, 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, tertuduh didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata yang tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis, 2013.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb, 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac, 2015, dan 29 Jun, 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib, dan Afzainizam Abdul Aziz.

Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinder Singh, Chetan Jethwani, Datuk Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
-Bernama

Tiada ulasan: