"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Harapan bersikap terbuka terima Pas

Bernama
Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika Pas berhasrat untuk menyertai gabungan itu demi penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata sebarang tindakan untuk penyatuan ummah adalah satu langkah baik, namun pihak Pas diharap tidak meletakkan pelbagai syarat yang ketat sehingga boleh menyisihkan kaum lain.

Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir

“Pihak kami kena sentiasa terbuka, tetapi macam mana pun kena bertoleransi, tak boleh kata nak satukan umat Islam dalam negara ini tetapi pada masa sama nak menyingkirkan dan menyisihkan kaum lain,” kata Menteri Besar itu kepada pemberita selepas menutup Bicara Eksekutif Maqasid Syariah peringkat negeridi Alor Setar hari ini.

Jumaat lepas, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan Umno sia-sia.

Beliau dilaporkan berkata jika Pas menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang, boleh menjadi kerajaan sekali lagi.

Sementara itu, Mukhriz berkata Bersatu juga kini lebih menumpukan kepada penglibatan ahli Umno menyertai PH dalam usaha memperkukuhkan kerajaan sedia ada sekali gus dapat meningkatkan jumlah Ahli Parlimen Melayu Islam di Dewan Rakyat.

“Kita kena tonjolkan kebaikan dan ketepikan perbezaan pendapat, saya ingat itu untuk kebaikan semua,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata mesej dan pendekatan Maqasid Syariah yang diintegrasikan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau SDGs oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sangat bersesuaian dengan nilai atau fitrah semua manusia, tanpa mengira agama dan bangsa atau negara.

“Ini kerana inti pati Maqasid Syariah yang inklusif dan dinamik amat bersesuaian dengan fitrah manusia, bukan hanya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk seluruh manusia termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dunia sejagat.

“Pada hari ini, Kedah dapat bersama-sama melaksanakan agenda Maqasid Syariah ini sebagai maklumat dan pencerahan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan yang baharu untuk menuju kepada sebuah negara rahmah yang berpaksikan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah,” katanya.

Beliau berkata mewakili kerajaan negeri, pihaknya menyambut baik dasar baharu kerajaan itu dan komited untuk bekerjasama bagi menjayakan matlamat yang besar itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: