"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warden penjara yang pukul Ustaz Wan Ji diminta tampil sebelum terlambat

Pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin mendakwa beliau dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Menceritakan pengalamannya sehari selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu, Wanji berkata warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas beliau memperkenalkan diri.

"Ana masuk (penjara) ana cakap jujurlah, ana kena pukul. Masuk tu, ada seorang mamat tu, mula-mula masuk ana pakai baju Melayu, dia suruh buka baju, bukalah baju tinggal seluar. Lepas tu nak botakkan kepala janggut semua ni.

"Ada seorang budak (warden) tu cakap Kelantan. Dia tutup muka, pakai baju warden, dia tanya demo namo gapo.

"(Dia suruh) Buka spec. Dah buka, tu bam bam, tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (Warden) Yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun," katanya ketika menyampaikan kuliah dalam satu rakaman video.

Pendakwah dari PKR itu berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, manakala Presiden PKR, Anwar Ibrahim turut mengetahui insiden berkenaan.

Anwar, kata Wan Ji telah menghubungi pihak penjara untuk mengenalpasti warden berkenaan.

Wan Ji berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada peguamnya yang kemudian memintanya agar membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Wan Ji berkata beliau pada mulanya enggan berbuat demikian kerana tidak mahu warden itu dibuang kerja.

"Tapi dia (peguam) kata tak boleh nanti dia buat kat orang lain," katanya.

Wan Ji berkata selepas berbincang, beliau mencadangkan agar warden itu tampil meminta maaf dan selepas itu beliau akan menarik balik laporan polis.

"Tak tahu apa pasal buat macam tu dekat ana mungkin dia dah bengang lama dengan ana. Buka FB, Youtube ke apa, bengang. Sebab mamat tu cakap Kelantan," katanya yang mengesyaki warden berkenaan kemungkinan penyokong parti politik tertentu.

Pada 9 April 2018, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam agar tempoh itu ditingkatkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.

Wan Ji kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Tiada ulasan: