"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nur Jazlan: PM tanggung masalah negara kerana menteri PAS ‘cap ayam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menempelak prestasi ditunjukkan menteri daripada PAS yang didakwa gagal memikul tanggungjawab dengan baik.

Beliau berkata, kelemahan kepimpinan parti itu turut menyebabkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menanggung pelbagai masalah negara.

Katanya, menteri PAS lebih bergaya dengan kedudukan dan pangkat, namun tidak kompeten dalam melakukan kerja.

“Realitinya perdana menteri memang terpaksa pikul segala masalah dan isu negara kerana barisan menteri yang ada dalam kerajaan hari ini memang tak boleh harap. Apatah lagi menteri dan timbalan menteri yang dilantik daripada kalangan pemimpin PAS. Semuanya jenis menteri cap ayam.

“Menteri yang langsung tak ada kebolehan memimpin dan menguruskan kementerian masing-masing, tetapi berlagak mengalahkan menteri Eropah.

“Menteri daripada PAS hanya seronok dapat bergaya dengan pakaian mahal, naik kereta mewah, duduk di Putrajaya, makan gaji dan dapat layanan VVIP. Tetapi, apabila buat kerja, semuanya tak reti dan gagal,” kata bekas Ahli Parlimen Pulai itu menurut laporan Utusan Malaysia.

Nur Jazlan turut menyenaraikan beberapa contoh menteri daripada PAS yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan kepada mereka, termasuk presiden Abdul Hadi Awang.

“Abdul Hadi dilantik jadi duta khas Asia Barat tetapi ‘pejabat’ dia di negeri Pantai Timur. Pelik sungguh, bagaimana dia uruskan kerja sebagai duta. Semua duta lain buat kerja dan duduk di pejabat di negara mereka ditugaskan, tetapi duta khas yang seorang ini boleh pula duduk di Marang.

“Begitulah kualiti dan kredibiliti menteri cap ayam daripada PAS sehingga menjadi beban batu besar kepada perdana menteri. Mereka yang tak reti buat kerja, mereka yang tak cekap dan mereka yang buat silap tapi akhirnya kerajaan serta perdana menteri kena tanggung,” katanya.

Nur Jazlan memberitahu menteri PAS terbabit lebih jahil berpolitik, tetapi sebaliknya mereka pandai memanipulasi untuk nampak cerdik dan berwibawa.

“Sebab itulah saya sejak dulu lagi tak pernah percayakan pemimpin PAS. Mereka hanya tahu menangguk di air keruh dan sanggup mempergunakan sesiapa sahaja untuk kepentingan diri serta politik,” katanya.

Tiada ulasan: