Anne Muhammad
PETALING JAYA: PAS yang dipimpin Abdul Hadi Awang ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Fadzil Mohd Noor.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata demikian susulan dakwaan Hadi yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalangan pemimpin gabungan itu “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.
Hadi turut menyifatkan PH sebagai sarat dengan orang “tidak beriman dan bermoral secara terbuka”
“Ustaz Hadi cakap tak beriman.. Oh saya dan Mat Sabu (Mohamad Sabu) tak beriman, pulak dah.
“Ustaz Hadi, Ustaz Hadi, saya tak nak cakap lebih-lebih, dulu dah kafir mengkafir dah, dah dua masjid, dah dua imam.
“Tapi memadai saya kata, saya maklum Almarhum Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor berbeza pandangan mereka,” katanya dalam ceramah PH di Kuala Pilah yang disiarkan secara atas talian.
Nik Aziz pernah menjawat jawatan mursyidul am PAS dari 1995 hingga 2015 manakala Fadzil pula bekas presiden parti itu sebelum diambil alih Hadi pada 2003.
Ahli Parlimen Marang dalam kenyataannya hari ini turut mendakwa, PAS menolak kerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara.
Bagaimanapun, Hadi tidak menawarkan sebarang bukti untuk menjelaskan dakwaan bahawa PH, yang dianggotai PKR, DAP, Amanah, dan Upko, “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.
Sebelum ini, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Beberapa pihak termasuk pemimpin DAP membuat laporan polis terhadap Hadi yang disiasat polis baru-baru ini. Beberapa pemimpin PAS mendakwa kenyataan Hadi itu berdasarkan kajian di sebuah universiti tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan