Shakira Buang
Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata sayap pemuda parti itu tidak akan pernah lelah untuk menuntut hak yang sama diberikan kepada mereka berhubung soal pembahagian kerusi.
Berucap ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional parti itu di Seremban, Hazmi mengakui bahawa pihaknya berasa cemburu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu diberikan tempat pada PRU akan datang.
"Hari ini kita melihat Pemuda Amanah seperti dikesampingkan. Bila pemuda minta kerusi gred A kita dikatakan merengek. Tahukah kita sebelum kita dapat solat 5 kali sehari, sebenarnya kita perlu solat 50 kali sehari.
"Oleh itu, kami tak akan jemu minta kerusi gred A.
"Kita perlu orang muda untuk memudakan parti kita. Kami minta di medan yang betul, kami meminta kepada parti kami bukan parti lain. Kami cemburu kepada parti Muda kerana kami sayangkan parti kami," katanya ketika membahaskan pidato presiden pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara (Amanah) di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Hazmi berkata, politik hari ini sudah berubah dan pemimpin muda harus diberi peluang untuk bertanding dalam PRU selain dapat memudakan parti itu.
"Ya, fasa abang-abang (pemimpin senior Amanah) memang sukar, kami tak mampu nak ulangi politik terdahulu, dipenjara, dibogel serta difitnah. Tapi, hari ini politik sudah berubah.
"Kami juga ingin perpatisipasi dengan parti ini. Ya, kami boleh setia dengan parti. Saya pada PRU14 diminta bertanding di kerusi gred F, lawan dengan pihak paling kuat dalam dunia, PAS, (iaitu) Mohamad Amar di Pancor Kelantan dan kalah serta hilang deposit.
"Tapi saya setia dengan parti, kami minta (kerusi gred A) sebab kami ingin parti ini lebih muda," katanya.
Sementara itu, Perwakilan Amanah Melaka menggesa pucuk pimpinan untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) memberikan kerusi Parlimen kepada sayap pemuda dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) pada PRU akan datang terlebih dahulu sebelum memberikan kepada Muda.
Membangkitkan perkara itu, Ahmad Azri Abdullah berharap pertimbangan turut diberikan kepada Wanita Muda Nasional (Warda).
"Amanah perlu pastikan ada kerusi Pemuda, AWAN dan Warda di Parlimen terlebih dahulu sebelum jalinkan kerjasama dengan rakan-rakan lain di luar Pakatan Harapan," katanya.
Sebelum ini, Muda yang diketuai presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk menyertai PH bagi menghadapi PRU-15 selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden gabungan itu.
Muda turut memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak.
PH semalam dilaporkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dan menilai kedudukan Muda yang berhasrat menyertai gabungan parti itu dalam waktu terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan