"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ejen produk kosmetik dilarikan tiga lelaki. 'Kami tak terima sebarang panggilan minta tebusan'

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

ROSNAZIRAH dilarikan tiga lelaki tidak dikenali semalam. FOTO ihsan pembaca

ROSNAZIRAH dilarikan tiga lelaki tidak dikenali semalam. FOTO ihsan pembaca

Tumpat: Wanita yang juga ejen jualan kosmetik dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada 4.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.

Menurut warisnya yang enggan dikenali, tiga lelaki itu datang ke rumah mangsa sebelum seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam lalu dibuka oleh mangsa.

"Lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi dan dia mengiyakannya sebelum terus mengheretnya keluar untuk dimasukkan dalam kereta.

"Tiga lelaki itu turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah selain mengugut akan mengapa-apakan mereka jika membuat sebarang tindakan.

"Bapa mangsa yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba untuk menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu mengacukan sebilah pisau rambo menyebabkan warga emas itu berundur dan hanya melihat mangsa dilarikan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat bahawa Azi dibawa ke arah Pengkalan Kubor iaitu kawasan sempadan negara menyebabkan suami mangsa bergegas ke lokasi, namun mangsa gagal ditemukan.

Katanya, terdapat saksi yang juga penduduk setempat mendakwa melihat seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju ke negara jiran, manakala Toyota Vios yang dinaiki turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.

"Suami mangsa juga turut menjejakinya hingga ke negara jiran dan masih belum pulang sehingga ke hari ini.

"Apa yang kami tahu Azi tidak mempunyai musuh dan sehingga kini kami tidak menerima panggilan yang meminta wang tebusan... tapi tidak pastilah jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik.

"Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini dan pada masa sama kami turut membuat solat hajat selain berdoa agar Azi segera ditemukan dengan selamat," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi dua minit 51 saat memaparkan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dibuat dan turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

------

'Kami tak terima sebarang panggilan minta tebusan'

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: "Luluh hati makcik melihat anak diheret di depan mata, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati ini mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak diketahui."

Demikian luahan Zahasnah Mohd Zain, 75, iaitu ibu kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang dipercayai dilarikan beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini petang semalam.

Zahasnah berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih masih trauma dengan apa yang berlaku dan terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta tolong ketika diheret sekumpulan lelaki itu.

"Makcik tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan sama ada mahu meminta wang tebusan ke apa.

"Makcik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak yang sehingga kini tidak mendapat sebarang khabar berita.

"Makcik hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Menceritakan kejadian yang berlaku jam 5.10 petang semalam, Zahasnah berkata, dia baru selesai solat Asar sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertanyakan anaknya.

"Suami terus memanggil anak yang ketika itu berada di dapur dan secara tiba-tiba Rosnazirah diheret tanpa sempat memakai selipar atau tudung.

"Pakcik (suami) sempat bergelut beberapa minit walaupun lelaki itu mengeluarkan pisau, namun pakcik terpaksa mengalah sebaik lelaki itu mengeluarkan pistol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Ketika itu ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak Rosnazirah yang menangis meminta pertolongan, namun tiada siapa yang berani mengenangkan lelaki itu mempunyai pistol.

"Ketika kejadian, terdapat lima lelaki semuanya iaitu seorang menunggang motosikal manakala empat lagi menaiki kereta.

"Sebelum kejadian saya perasan sebuah motosikal lalu lalang di kawasan rumah, mungkin dia datang memantau," katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Syarafi, 26, berharap kakaknya ditemui selamat dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Katanya, kakaknya bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan dia serta keluarga tidak pernah dimaklumkan sama ada kakak ada berhutang atau sebaliknya.

"Kami sekeluarga akan mengadakan solat hajat dan besar harapan kami kakak dibebaskan dan pulang dengan selamat," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam tadi.

Tiada ulasan: