"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usah salahkan rakyat jika BN menang, kata Agus

Malaysiakini

Pembangkang tidak boleh menyalahkan orang lain - termasuk rakyat - kecuali diri mereka sendiri jika BN kembali mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff berkata gabungan BN boleh mengalahkan parti lain apabila PRU ke-15 dilangsungkan nanti jika pembangkang gagal berkonsolidasi atau memperkukuhkan kerjasama sesama sendiri.

"Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dan Warisan, sila duduk bersama dan berbincang.

"Tidak perlu fikir tentang khemah besar, (sebaliknya) fikir tentang electoral pact (pakatan pilihan raya) saja.

"BN dan PH semuanya masih ada masa sehingga hari pencalonan untuk berbuat demikian.

"Ingatan saya kepada pemimpin pembangkang cuma satu: jangan salahkan rakyat yang tidak tahu memilih jika gagal berkonsolidasi sekiranya BN menang lagi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di media sosial hari ini.

Bekas profesor sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga menegaskan perkara tersebut sebagai mengulas mengenai keadaan semasa politik serta pentingnya kerjasama dalam kalangan parti politik menjelang PRU ke-15.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, situasi PRU ke-15 menyaksikan BN dalam keadaan bersatu, manakala perpaduan parti pembangkang berada dalam keadaan sebaliknya.

Justeru dia menegaskan betapa mustahaknya perpaduan dan kerjasama bagi parti yang ingin menang dalam pilihan raya kali ini.

Mohammad Agus juga menegaskan, kajian pakar mengesahkan bahawa perpaduan elit penting untuk menonjolkan imej perpaduan kepada orang ramai.

"Tanpa imej perpaduan ini, harapan untuk menjatuhkan rejim pemerintah sukar kerana rakyat tidak percaya kepada parti yang gagal menjanjikan kestabilan dan perpaduan.

"Di Malaysia, BN gagal memenangi hatta satu kerusi pun di Kelantan dalam PRU 1990 kerana imej perpaduan dan konsolidasi elit PAS dan Semangat 46 yang kuat ketika itu.

"Di Indonesia, gerakan reformasinya berjaya kerana elitnya tidak bersatu mendukung rejim Suharto.

"Di Malaysia, BN berjaya mengekalkan pemerintahannya kerana keupayaan Dr Mahathir (Mohamad) menyatukan elit-elit politik BN untuk bersatu dan tidak melawan kepimpinannya.

"Begitulah juga dengan PRU ke-15 ini. BN bersatu dan perpaduan inilah yang meyakinkan BN untuk membubarkan parlimen. Pembangkang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka tahu perpaduan sesama mereka rapuh," katanya.

"Apakah BN ada harapan untuk menang? Biarpun banyak isu yang tidak menyebelahi BN, mereka mempunyai peluang yang lebih besar jika pembangkang tidak bersatu," katanya.

Menurut Mohammad Agus memang terlalu sukar untuk parti pembangkang bekerjasama erat kerana - antara lain - disebabkan 'parut luka' yang terjadi sebelum ini.

Langkah Sheraton dan pengkhianatan lainnya, kata Mohammad Agus, adalah "kesakitan yang tajam" namun ia merupakan cabaran untuk pemimpin pembangkang mencari kesepakatan.

"Bagaimana untuk bekerjasama? Berjiwa besarlah dan mulakan langkah untuk sekurang-kurangnya ada electoral pact.

"Dengan kerjasama elektoral sahajalah sekurang-kurangnya, PRU ke-15 ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara tercinta ini," ujar Mohammad Agus lagi.

Tiada ulasan: