"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid PM10, Najib PM11?

Lim Kit Siang 

Semalam, sebuah parti BN dikatakan berazam untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada pemenjaraan. 

Walaupun presiden parti berkenaan mengeluarkan penafian, tidak ada sebarang ragu-ragu bahawa cita-cita ini adalah salah satu objektif tersurat atau tersirat Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-15.

Baca: MIC nafi bawa resolusi bebaskan Najib dalam perhimpunan agung

Di Singapura, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) BSI Bank Ltd, Cawangan Singapura (BSIS) atas peranannya menyebabkan kegagalan bank tersebut melaporkan transaksi meragukan berkaitan 1MDB. 

Raj Sriram, bekas pengerusi cabang perbankan peribadi BSIS diberikan amaran bersyarat 24 bulan oleh jabatan hal ehwal komersial polis Singapura dan perintah larangan (PO) selama 10 tahun dari Monetary Authority of Singapore (MAS). 

“BSIS, yang Sriram merupakan timbalan CEO dan ketua perbankan peribadi, merupakan salah satu saluran utama dana tercemar dari 1MDB,” kata timbalan pengarah urusan (pengawasan kewangan) MAS, Ho Hern Shin.

MAS menarik semula lesen BSIS pada bulan Mei 2016 kerana pelanggaran syarat-syarat antipengubahan wang haram/pendanaan keganasan yang serius dan berulang.

Sekurang-kurangnya 10 negara telah mengambil tindakan terhadap skandal 1MDB. 

Tapi penting diingatkan, tiada pemimpin Umno atau parti-parti lain BN pernah mengutuk skandal 1MDB, sama ada sekarang atau dalam dekad yang lepas.

Sementara salah satu cita-cita tersurat atau tersirat Umno dan BN dalam PRU15 adalah untuk membebaskan Najib Razak dan protagonis lain dalam skandal 1MDB daripada liabiliti jenayah mereka. 

Umno mahupun parti-parti BN tidak peduli yang Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi akibat skandal 1MDB.

Persoalan penting yang mesti ditanyakan rakyat Malaysia, adakah PRU15 ini satu usaha untuk membebaskan Najib? 

Atau membebaskan rakyat daripada kemiskinan, eksploitasi, ketidaksamaan, dan ketidakadilan, dan meletakkan Malaysia sebagai negara majmuk yang hebat dan bertaraf dunia?

PRU15 akan menentukan siapakah perdana menteri ke sepuluh.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang merupakan calon perdana menteri, Anwar Ibrahim, menyeru pengundi membetulkan “kerosakan” yang ditinggalkan selepas 65 tahun pembinaan negara, mendapatkan semula negara daripada dua kerajaan “pintu belakang”, dan berjuang demi masa hadapan yang mampan, makmur dan peduli rakyat.

PM tak cakap benar

Perdana Menteri, Ismail Sabri, tidak bercakap benar apabila dia mendakwa dalam siaran langsungnya semalam bahawa negara kita diiktiraf yang terbaik di Asia Tenggara dalam menguruskan pandemik Covid-19. 

Bagaimanakah dia boleh membuat dakwaan sebegini sedangkan kita mencatatkan kadar kematian per sejuta penduduk yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean?

Malah kita mencatatkan hampir dua kali ganda kadar kematian per sejuta penduduk berbanding dengan negara di tempat kedua, seperti berikut: 

Malaysia 1,097Indonesia 567Filipina 563Brunei 505Thailand 468Vietnam 436Myanmar 352Singapura 275Kemboja 178Laos 101

Undilah BN jika…

Adakah Malaysia akan mendapat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai perdana menteri ke-10? Adakah Najib Razak akan kembali sebagai perdana menteri ke-11?

Sekiranya rakyat Malaysia mahu melihat negara kita terus dihina di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi dengan Najib sebagai perompak, undilah Umno, BN, Zahid, dan Najib. 

Sekiranya kita mahu Malaysia untuk kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara–yang disabotaj Langkah Sheraton, yang menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan sah, dan kemudian membawa masuk dua kerajaan “pintu belakang– undilah PH dan Anwar sebagai perdana menteri ke sepuluh.

PRU15 ini akan menjadi ujian sama ada kita peduli dengan nasib Malaysia dan generasi masa hadapan, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, supaya Malaysia dapat berdiri bangga menjelang ulang tahun ke-100 negara sebagai negara majmuk yang hebat dan bertaraf dunia. 

Rakyat Malaysia perlu terus berstamina, cekal tabah, dan mempunyai matlamat untuk meneruskan kerja jangka panjang yang masih belum selesai untuk memenuhi Impian Malaysia, dan memenuhi cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, supaya Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan galau”.

Tiada ulasan: