"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi orang paling berkuasa di negara ini bermula pembubaran parlimen semalam?

BERMULA SEMALAM, ZAHID HAMIDI ORANG PALING BERKUASA DI NEGARA INI

Shahbudin Husin 

Berikutan pembubaran Parlimen berkuatkuasa semalam, Ahmad Zahid Hamidi kini menjadi orang politik paling berkuasa di negara ini.

Kejayaan merealisasikan tekanan membubarkan Parlimen menjadi kenyataan, bermakna bermulalah terbuka gerbang kuasanya.

Dengan kuasa memberi watikah calon ada di tangan beliau, semua calon BN, termasuk Perdana Menteri dan menteri-menteri, untung nasib mereka sekarang ini amat bergantung kepada budi bicara dan kehendaknya.

Walaupun mungkin mustahil beliau tidak memberikan watikah calon kepada Ismail Sabri Yaakob yang kini merupakan “Perdana Menteri caretaker”, apa yang nak disebut di sini ialah kuasa memberi watikah itu adalah keistimewaan yang dimilikinya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang tidak ada pada sesiapa selain beliau pada ketika ini.

Kepada menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen sedia ada, tidak mustahil kedudukan sebahagian daripada mereka sedang dalam penelitian oleh Zahid Hamidi sama ada mereka perlu diberi watikah calon atau sebaliknya.

Kalau tak diberi watikah calon, bererti “bye byelah” untuk bertanding lagi dan terlepaslah dengan sendirinya semua jawatan yang ada dalam kerajaan sekarang ini.

Tambahan lagi kepada menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen yang pernah mengkritiknya secara terbuka, mengadakan sidang media membalunnya tanpa segan silu atau sehingga sekarang masih tidak sebulu dengannya, tentu mereka mula susah hati dan resah gelisah sejak semalam lagi.

Bagi yang ada harga diri, mungkin mereka tak kisah sama ada mahu dipilih lagi untuk bertanding atau tidak.

Bagi mereka, semua itu ketentuan rezeki dan Tuhan yang menentukannya.

Namun, bagi yang tebal muka dan ghairah mahu bertanding lagi, tambahan lagi kerana belum puas menikmati kedudukan dalam kerajaan, tidak mustahil ada di antaranya tanpa segan-segan mula menghimpit dan mendekati Zahid Hamidi.

Bukan saja mereka sanggup bertunggu tangga di pejabatnya, barangkali ada juga yang menjejakinya sehingga ke rumah pada waktu malam atau tersembul di muka pintu selepas waktu subuh.

Kalau beliau ada perbicaraan pula, jangan terkejut jika tiba-tiba kelihatan ramai wajah ahli parlimen hadir memberi sokongan, walhal sebelum ini sebelah kaki pun haram mereka tak pernah memijakkan kaki ke mahkamah.

Ketika inilah, bermacam-macam ikrar dan janji taat setia akan sanggup dilafazkan terhadap Presiden UMNO itu, asalkan nama dalam senarai watikah calon tidak diketepikan.

Tanpa jawatan dalam kerajaan, bahkan masih berdepan 47 kes dalam perbicaraan, bertukarnya kedudukan Zahid Hamidi menjadi orang paling berkuasa ketika ini adalah suatu pencapaian yang sangat menakjubkan.

Tidak pernah ada mana-mana Presiden UMNO pernah meraih kemuncak seperti ini kerana sebelum ini semua Presiden UMNO dan Pengerusi BN ketika mereka dikejar oleh ramai orang untuk mendapat watikah calon, termasuk ada yang menangis merayu agar tidak digugurkan, mereka dalam masa yang sama adalah berkedudukan sebagai Perdana Menteri.

Berbeza dengan Zahid Hamidi, beliau tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, manakala jawatan Perdana Menteri disandang oleh Ismail Sabri.

Selepas proses pemberian watikah calon, diikuti penamaan calon dan seterusnya pengundian, Zahid Hamidi selepas keputusan PRU15 diumumkan nanti dan jika ditakdirkan BN mencapai kemenangan, sekali lagi bakal menjadi orang paling berkuasa di negara ini.

Ketika itu, dengan kedudukan sebagai Pengerusi BN, di tangannyalah menjadi penentuan siapa yang bakal dinamakan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Beliau boleh mengekalkan atau mengenepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, meletakkan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sebagai calon Perdana Menteri yang baharu atau tidak menamakannya, menamakan mana-mana pemimpin UMNO lain yang dikehendakinya sebagai Perdana Menteri, malah boleh juga mencalonkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri ke-10.

Lagi pula, meski masih berdepan kes mahkamah dan desas-desus beliau sebagai bakal Perdana Menteri ke-10 sudah sekian lama kedengaran, sekali pun Zahid Hamidi tidak pernah membuat penafian mengenainya.

Kenapa tidak pernah ada penafian dan susah sangatkah untuk Zahid Hamidi menyatakan – Saya tidak mahu sama sekali jadi Perdana Menteri!! – ShahbudinHusin 11/10/2022.

Tiada ulasan: