"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran Lim kepada Wan Fayhsal - jenayah buat laporan polis palsu

Malaysiakini 

Pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal bahawa membuat laporan polis palsu merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ahli parlimen Bagan merujuk laporan polis yang dibuat ketua Armada Bersatu itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dirinya sendiri.

Menurut Lim, ini kerana dakwaan yang dibuat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa dia membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary adalah 'dakwaan palsu'.

“Anwar bercakap benar apabila dia berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sebagai Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Ini disokong oleh kegagalan Muhyiddin menunjukkan bukti atau mengemukakan surat pembatalan daripada saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Anwar juga betul apabila menyatakan bahawa pembatalan status pengecualian cukai terletak pada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya perdana menteri atau pun menteri kewangan, kata Lim lagi.

Semalam, beberapa beberapa pemimpin Pemuda Bersatu diketuai Wan Fayhsal membuat laporan polis terhadap Lim dan Anwar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Wan Fayhsal mendakwa penjelasan Anwar bahawa kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya menteri atau perdana menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.

Wan Fayhsal seterusnya mendakwa bahawa Anwar yang juga menteri kewangan gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu menteri kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN.

Mengulas lanjut, Lim berkata apa yang ditunjukkan Wan Fayhsal jelas memperlihatkan ahli parlimen Machang itu jahil dan kurang pengetahuan mengenai ekonomi, kewangan atau perkara percukaian kerana seksyen 44(6B) merujuk kepada rayuan kepada menteri dan bukannya menteri yang memulakan pembatalan status dikecualikan cukai.

“Saya tidak melihat fail Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan dan tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satupun dibuat oleh Yayasan Albukhary kepada saya.

“Jelas sekali tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan,” kata Lim.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan sama sekali terhadap status pengecualian cukai Yayasan Albukhary seperti yang didakwa Muhyiddin.

"Jika ada pembatalan sedemikian, maka ia hanya boleh dilakukan semasa tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Lim.

Sebaliknya, menurut Lim, Wan Fayhsal perlu memujuk Muhyiddin untuk menunjukkan surat pembatalan sendiri kepada Yayasan Albukhary.

“Jika Muhyiddin gagal berbuat demikian, maka kedua-dua Muhyiddin dan Wan Fayhsal membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu.

Ambil tindakan jenayah, sivil

“Saya telah memulakan tindakan jenayah dan sivil terhadap Muhyiddin kerana pembohongannya yang boleh menjejaskan muhibah kaum dan menjejaskan keharmonian agama.

"Wan Fayhsal harus berfikir dengan teliti sebelum dia ‘berenang di perairan yang sama’ seperti pengerusi PN itu," tambah Lim.

Lim juga membidas Wan Fayhsal kerana mendakwa dalam laporan polisnya bahawa Anwar telah mengelirukan dan mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyokong hujah Lim.

“Wan Fayhsal salah kerana cuba membawa polis ke prosiding parlimen.

“Jelas sekali beliau sama ada tidak menghormati atau memahami prinsip keluhuran parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Polis atau mana-mana cawangan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menceroboh atau menyiasat perkara yang dibincangkan di parlimen.

"Perkara parlimen hanya boleh diputuskan oleh parlimen dan jika ahli parlimen berbuat sebaliknya menunjukkan dia tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat,” dakwa ahli parlimen veteran itu.

Tiada ulasan: