"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul bapa tegur baca doa buka puasa laju

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Hanya kerana menegur membaca doa berbuka puasa dengan laju, seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan kerusi meja makan di kediaman mereka di Bandar Puncak Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 63 tahun cedera di dahi dan tapak tangan kanan.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan suspek berusia 34 tahun membaca doa dengan laju untuk berbuka puasa sebelum ditegur oleh mangsa.

"Suspek yang tidak berpuas hati menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga kaki kerusi itu patah.

"Seorang daripada anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi pihak polis sebelum suspek ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis turut merampas barang kes iaitu kerusi meja makan yang digunakan untuk memukul mangsa.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan kanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 dimana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: