"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi sedang perkukuh fahaman bercitra Khawarij

Label PKR lawan Al Quran, Hadi sedang perkukuh fahaman bercitra Khawarij

 MALAYSIADATELINE

Saya cuba memahami tulisan dalam Minda Presiden PAS yang melabelkan PKR Lawan al-Quran. Saya juga cuba mencari dimanakah kenyataan yang disebutkan dalam mana-mana ucapan sewaktu penggulungan dalam Kongres Khas PKR 2023.

Dalam pengamatan saya dan ilmu yang terbatas ini tiada satu pun kenyataan yang dikeluarkan yang sepadan dengan maksud tajuk tulisan Minda Presiden itu.

Pihak Pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang parlimen.

Jika wakil Marang hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama. Agama Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.

Maka apa alasan utk kita mengambil pendapatan sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita.

Jika jawapannya adalah Parlimen tidak sama dengan sekolah iaitu tidak perlu hadir setiap hari, maka ingin saya tekankan, parlimen lebih penting dari sekolah kerana disinilah tempat berlakunya semak dan imbang atau dalam ungkapan yang lain, di parlimenlah berlakunya al-amru bi il- ma’ruf wa nahyu a’ni il- munkar. Dari sinilah punca peraturan dan undang-undang digubal.

Jika kesepaduan antara agama Islam dan politik yang diperjuangkan maka parlimenlah tempatnya. Ia bukan sahaja menjadi wajib dari sudut politik tetapi juga dari sudut dakwah sebagaimana yang dipamerkan oleh generasi para sahabat di Madinah sehingga meraih gelaran Khayra Ummah :

كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ …

[Surah Āli-ʿImrān: 110]

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…..

Saya percaya jika wakil Marang rajin ke parlimen pada sesi yang lepas, RUU 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengam restu MCA, MIC dan GPS.

Bukan setakat RUU 355 tidak tertunai, tetapi juga wakil Marang terlepas pahala jihad yang besar jika beliau menganggap PM X seorang yang zalim. Sabda Rasulullah s.a.w :

أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر.

“Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”

Riwayat At-Tirmizi, no. 2174.

Perdana Menteri pun merujuk al-Quran dalam membentangkan RUU Perbekalan bagi tahun 2023, jika wakil Marang hadir, saya yakin Parlimen kita akan bergegar dengan hujah dan dalil dari al-Quran dan Hadith, pandangan para ulama dan seumpamanya.

Agak melucukan apabila menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam, sedangkan perkara yang serupa dilakukan oleh wakil Marang bersama sekutunya sebelum ini.

Wakil Marang terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi (maklumlah mula menjadi wakil rakyat sejak 1982) iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.

Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas perlembagaan ini. Baik raja, perdana menteri, pegawai dan pentadbir malah para asatizah sekalipun semuanya dinaungi oleh perlembagaan yang dikatakan bertentangan dengan al-Quran oleh wakil Marang.

Maka saya cabar untuk wakil Marang membuat kenyataan secara jelas menentang Perlembagaan Persekutuan.

Tulisan yang sebegini jelas menunjukkan wakil Marang sedang memperkukuh fahaman bercitra khawarij yang ditolak oleh Ahlus sunnah Waljamaah.

Hj. Amidi bin Abdul Manan
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR
merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR

Tiada ulasan: