Zulhilmi Zailani
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) baru-baru ini mengatakan tidak menolak kemungkinan akan bertanding dalam PRN di enam buah negeri tahun ini. Penasihatnya Dr Mahathir Mohamad mengatakan Putra sedang mengkaji sama ada akan mengambil bahagian atau tidak.
Penyertaan dalam PRN atau PRU oleh mana-mana parti serta individu amat digalakkan. Selain mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan parti bertanding, pengundi juga memiliki lebih banyak pilihan untuk melihat calon mana yang terbaik.
Namun terdapat beberapa faktor mengapa parti kecil seperti Putra berdepan cabaran untuk memenangi pilihan raya.
Faktor pertama adalah kekurangan sumber dan pengaruh media.
Parti besar kebiasaannya memiliki lebih banyak sumber dan wang untuk membiayai kempen pilihan raya, termasuk melibatkan pengiklanan, kempen rumah ke rumah serta acara lain yang berkaitan. Parti besar juga mempunyai akses yang lebih luas kepada media massa dan elektronik untuk menyebarkan mesej mereka kepada orang ramai.
Pada PRU15, parti-parti besar turut memiliki sukarelawan yang membantu menjalankan kempen pilihan raya di platform media sosial untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong mereka.
Selain itu, parti-parti besar turut menjadi pilihan media-media arus perdana untuk mengadakan wawancara, sekali gus membantu menyebarkan lagi mesej mereka kepada para pengundi.
Faktor kedua yang berkemungkinan menyumbang kepada kekalahan parti kecil dalam pilihan raya adalah pengaruh serta kesetiaan kepada parti.
Parti besar kebiasaannya memiliki pengaruh lebih meluas serta kumpulan penyokong yang lebih kukuh. Perkara itu disumbangkan menerusi kredibiliti kepimpinan dan agenda politik yang diperjuangkan oleh parti berkenaan sejak sekian lama.
Pengaruh parti besar membolehkan mereka untuk menarik lebih ramai pengundi dan juga mengekalkan para penyokong sedia ada.
Di samping itu, parti kecil biasanya mempunyai kuasa yang lebih terhad di peringkat kerajaan serta kurang pengaruh dalam melaksanakan dasar dan keputusan politik.
Faktor kaum dan wilayah turut mempengaruhi pilihan para pengundi di Malaysia.
Negara ini memiliki pelbagai kaum dan wilayah yang mempunyai kepentingan politik berbeza. Pola pengundian di negara ini sering kali berlandaskan kepada pecahan kaum di suatu kawasan. Kebanyakan pengundi di Malaysia cenderung untuk mengundi parti yang berasaskan kaum mereka sendiri.
Justeru, sekiranya parti kecil tidak memiliki kekuatan yang mencukupi dalam kalangan kaum tertentu, mereka mungkin kehilangan sokongan daripada kaum berkenaan dan kalah dalam pilihan raya.
Kawasan luar bandar dan pinggir bandar sering kali menjadi pilihan utama parti kecil untuk meraih sokongan para pengundi. Namun strategi berkenaan membataskan jumlah sokongan terhadap parti kecil selain sukar untuk menandingi parti-parti besar terutama di kawasan bandar.
Parti kecil seperti Putra perlu berusaha lebih keras untuk menarik perhatian dan sokongan orang ramai menerusi strategi serta platform yang baik. Putra juga perlu membangunkan kumpulan penyokong yang kukuh daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Banyak cabaran yang perlu ditangani oleh parti kecil seperti Putra seperti soal kepimpinan dan isu-isu politik yang wajar dibangkitkan.
Putra masih ada perjalanan yang panjang untuk memecahkan dominasi parti-parti politik besar di negara ini.
Persoalan yang timbul kini adalah sama ada Putra mampu atau tidak untuk bersaing serta bertahan dalam arena politik negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan