"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues kes kematian Baby Syifaa, kesan darah pada kain buai

Kesan darah Baby Syifaa pada kain buai
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Kain buai tempat Baby Syifaa ditemui maut di pusat asuhan dibasuh saksi ke-21, pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30, selepas kejadian pada 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, dalam inkues kes kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri yang masuk hari keenam hari ini, saksi ke-22 memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa masih terdapat penemuan kesan darah pada kain berkenaan.

Ahli Kimia, Nurul Hamizai Abdul Hamid, 39, yang bertugas di Bahagian DNA Forensik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berkata, hasil keputusan makmal mendapati DNA pada kesan darah itu sepadan profil DNA bayi berkenaan.

"Kesan tompokan darah itu 'smear' sangat kecil dianggarkan berdiameter lima milimeter (mm) di bahagian kepala kain buaian.

"Bagi ekshibit (barang kes) lain iaitu pakaian mangsa dan permaidani (diambil dari taska) tidak menunjukkan kehadiran kesan darah," katanya.

Menurut Nurul Hamizai, beliau hanya mengetahui bahawa kain buaian itu sudah dibasuh sebelum dihantar ke makmal ketika memberi keterangan, hari ini.

Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Zahida Zakaria adakah DNA boleh termusnah atau menyusut sekiranya dibasuh, Nurul Hamizai berkata, ia bergantung pada tahap basuhan sama ada kesan darah itu masih dapat dikesan atau tidak.

Dalam pada itu, Nurul Hamizai memberitahu, terdapat penemuan kromosom XY sekurang-kurangnya tiga individu yang tidak mempunyai kaitan kekeluargaan pada pakaian Nour Rania Asyifaa yang diperoleh daripada keputusan DNA surih.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan siapa pemilik DNA itu, tetapi dia bersetuju terdapat kromosom lelaki.

Pada prosiding yang bersambung jam 2.30 petang, Nadzirah memberitahu dia membasuh kain buaian itu kira-kira jam 6 lebih kerana ia adalah rutin, malah tidak mengetahui ia punca kejadian.

Dia turut tidak bersetuju cadangan Peguam mewakili keluarga Syifaa, Gaithri Thomas yang mendakwa tindakannya membasuh buaian terbabit kerana mahu menghilangkan kesan darah padanya.

Peguam Hafiz Norkhan turut menyoal sama ada Nadzirah nampak kesan darah pada kain buaian itu ketika membasuhnya.

"Saya tak nampak apa-apa kesan darah kerana saya rabun dan tidak memakai cermin mata pada waktu itu," katanya.

Ketika ditanya soalan Hafiz mengenai cara membasuh kain buai, Nadzirah berkata dia meletakkannya di lantai bilik air sebelum meletakkan sabun dan menyiramnya dengan air sebelum membilasnya sehingga hilang buih.

Nadzirah juga memberitahu, polis yang datang ke taska berkenaan untuk membuat siasatan pada hari kejadian tidak bertanyakan berkenaan kain buaian itu yang didapati basah kerana dibasuh.

Tiada ulasan: