Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolahnya di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 11.25 pagi.
Dia berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
"Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.
"Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Morni berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan lanjut.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan