"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gempa bumi kuat di Pakistan dan Afghanistan, 11 maut

AP
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
Islamabad: Gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan sebahagian besar Pakistan dan Afghanistan pada Selasa, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang di kedua-dua negara.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Pakistan memberitahu The Associated Press, lebih 100 mangsa dibawa ke hospital di wilayah lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.

"Kebanyakan mangsa tidak sedarkan diri dan sebahagiannya tidak sedarkan diri kerana panik akibat gempa bumi. Kebanyakan mereka sudah dibenarkan keluar hospital," katanya.

Faizi dan pegawai lain berkata, sembilan terbunuh apabila bumbung runtuh di barat laut Pakistan, manakala puluhan lain cedera dalam gempa bumi berpusat di Afghanistan yang turut dirasai di sempadan Tajikistan.

Gempa bumi mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan sehingga mengganggu lalu lintas.

Jurucakap Pengurusan Bencana wilayah di barat laut, Taimoor Khan berkata, sekurang-kurangnya 19 rumah runtuh di kawasan terpencil dan beberapa pangsapuri retak, namun pihaknya masih mengumpul data mengenai kerosakan.

Gegaran kuat menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan pejabat mereka di ibu kota Pakistan, Islamabad, dengan sebahagiannya membaca ayat al-Quran.

Di Afghanistan, jurucakap Kementerian Kesihatan Sharafat Zaman Amar berkata, setakat ini, sekurang-kurangnya dua maut dan kira-kira 20 cedera dalam gempa bumi di Kabul dan bahagian lain di Afghanistan.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa dan semua hospital serta kemudahan kesihatan berusaha menyelamatkan mangsa.

Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bermagnitud 6.5 di 40 kilometer tenggara Jurm di wilayah pergunungan Hindukush, Afghanistan, bersempadan Pakistan dan Tajikistan.

Gempa bumi melanda 188 kilometer jauh di bawah permukaan bumi menyebabkan ia dirasai di kawasan luas.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif dalam satu kenyataan meminta pegawai pengurusan bencana supaya terus berwaspada untuk menangani sebarang situasi.

Pada tahun lalu, gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda kawasan di tenggara Afghanistan yang mengakibatkan 1,150, terkorban dan ratusan lagi cedera.
-hmetro 

Tiada ulasan: