"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kurang kasih sayang antara punca murtad di Malaysia

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengaruh negatif rakan sebaya akibat kurangnya perhatian dan kasih sayang keluarga antara satu daripada empat faktor utama umat Islam di negara ini, murtad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan melalui Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sangat memberi penekanan terhadap isu murtad dan penyelewengan akidah membabitkan umat Islam di negara ini dan mengesan faktor penyumbang gejala itu.

"Antara faktor lain menyumbang kepada murtad di negara ini ialah kelemahan pegangan terhadap agama Islam yang disebabkan oleh kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada ibu bapa dan keluarga.

"Pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup yang menjurus kepada gejala murtad juga menjadi faktor murtad.

"Selain itu, masalah percintaan, perkahwinan dan perceraian juga antara faktor yang menyebabkan murtad dalam kalangan umat Islam.

"Terdapat juga remaja terjebak dalam amalan percintaan berlainan agama tanpa kawalan sehingga terjebak dalam gejala murtad," katanya pada jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Perdana Menteri apakah faktor utama berlakunya gejala murtad dan tindakan Jakim membendung isu ini.

Mengulas lanjut Mohd Na'im berkata, pihak Jakim akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akidah dan pegangan umat islam melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta agensi lain berkaitan.

"Jakim dan Jain mengeluarkan Teks Khutbah Jumaat yang menjelaskan pelbagai isu semasa berkaitan akidah, syariah, akhlak dan isu-isu semasa yang timbul.

"Bagi membendung gejala murtad dalam kalangan masyarakat, Jakim melaksanakan program penerapan dan penghayatan nilai Islam kepada beberapa golongan sasar seperti anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, penjawat awam dan swasta," katanya.

Katanya, penghayatan Islam juga turut dilaksanakan kepada pesakit Muslim di hospital melalui program Rakan Masjid Hospital (Ramah) bagi membawa misi pengisian rohani kepada masyarakat.

"Selain itu, kelas pengajian Takmir juga turut diadakan di masjid dan surau bagi memantapkan pegangan dan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Jabatan mufti negeri juga turut menjalankan Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) bagi mereka yang didapati terbabit dengan kesalahan akidah dan murtad kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

"Di samping itu, Main juga menyediakan khidmat sokongan pascapemulihan bagi memastikan akidah mereka terus kekal dalam Islam," katanya.

Tiada ulasan: